ALLAHYARHAMAH PROF. DR. MAHIRAN BASRI TERIMA GELARAN PROF. EMERITUS (ANUMERTA) | FAKULTI SAINS
» BERITA » ALLAHYARHAMAH PROF. DR. MAHIRAN BASRI TERIMA GELARAN PROF. EMERITUS (ANUMERTA)

ALLAHYARHAMAH PROF. DR. MAHIRAN BASRI TERIMA GELARAN PROF. EMERITUS (ANUMERTA)

SERDANG – Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Ke-46 yang telah diadakan bermula 26 November 2022 menyaksikan pengurniaan gelaran Prof. Emeritus (Anumerta) disandang oleh Allahyarhamah Prof. Dr. Mahiran Basri, Fakulti Sains. Beliau telah berkhidmat selama 35 tahun bermula tahun 1982 sebelum kembali ke rahmatullah pada 20 Disember 2017 ketika berumur 60 tahun.

 

Beliau pernah memegang beberapa portfolio penting di Universiti Putra Malaysia termasuklah sebagai Timbalan Dekan (Penyelidikan), Fakulti Sains pada tahun 2002 hingga 2007 dan kemudiannya menjadi Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia dari tahun 2007 hingga 2015. Mahiran Basri telah dilantik sebagai Profesor VK7 pada 1 Mei 2002, VK6 pada 1 Januari 2009 dan VK5 pada 1 April 2016.

 

Sumbangan Prof. Dr. Mahiran Basri dalam bidang Kimia Bio-organik, Teknologi Enzim, Oleokimia dan Kimia Koloid, melangkaui menara gading malah menembusi industri dalam negara dan antarabangsa. Kepakaran Mahiran Basri diiktiraf oleh rakan strategik seperti Institut Kimia Malaysia, New York Academy of Science, Third World Organization for Women in Science (TWOWS), dan SEARCA FELLOWS Association.

 

Selain itu, beliau merupakan pemenang pingat emas dalam beberapa pertandingan penyelidikan dan inovasi berprestij peringkat antarabangsa seperti di Geneva, Switzerland pada tahun 2005 dan di Pittsburgh, Amerika Syarikat pada tahun 2008.  Prof. Dr. Mahiran Basri juga telah menerima anugerah dan pencapaian seperti ISESCO Science and Technology Prize 2014 in Chemistry daripada The Islamic Educational Scientific and Cultural Organization, Archer Daniels Midland Award daripada American Oil Chemists Society, Tan Sri Ong Kee Hui Award daripada Institut Kimia Malaysia, Ram Rais Biotechnology Award daripada Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan Top Research Scientist Malaysia daripada Akademi Sains Malaysia.

Tarikh Input: 05/12/2022 | Kemaskini: 05/12/2022 | nashrin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXDdVAr~