Jabatan Matematik Dan Statistik Sambut Hari Matematik Antarabangsa 2023 | FAKULTI SAINS
» BERITA » Jabatan Matematik dan Statistik sambut Hari Matematik Antarabangsa 2023

Jabatan Matematik dan Statistik sambut Hari Matematik Antarabangsa 2023

Serdang, 14 Mac 2023 – Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains, telah melakar sejarah menganjurkan program sempena sambutan Hari Matematik Antarabangsa 2023 atau dikenali sebagai International Day of Mathematics (IDM2023). Langkah ini merupakan acara tahunan yang disambut pada setiap 14 Mac dan turut dikenali sebagai Pi Day. Malah ianya telah diiktiraf oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada 26 November 2019. Sehubungan dengan itu, Jabatan Matematik dan Statistik mengambil kesempatan ini untuk menganjurkan program ini selama 3 bulan bermula Mac 2023 hingga Mei 2023 yang diterajui oleh YBhg. Prof. Dr. Zanariah Abdul Majid.

Sempena tema pada tahun ini di peringkat antarabangsa adalah “Matematik Untuk Semua”, justeru itu, sambutan pada 14 Mac dimulakan oleh Jabatan dengan aktiviti yang melibatkan pelajar sekolah dari kalangan anak-anak staf Fakulti Sains berumur 11-16 tahun. Aktiviti yang dijalankan ialah Statistic Challenge, Dance Dance Math dan Di Sebalik Irama. Ketua aktiviti yang mengendalikan ialah Dr. Norhaslinda Ali, Dr. Chen Chuei Yee dan Dr. Faridah Yunos.  Seramai 35 orang pelajar sekolah terlibat mengikuti kesemua aktiviti tersebut. Mereka dikumpulkan secara berpasangan dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah. Penyertaan pelajar sekolah adalah untuk memupuk minat dan rasa seronok pelajar terhadap penyelesaian masalah matematik secara kreatif dan kritis. Di akhir aktiviti ini, para pelajar diberi borang soal selidik untuk memantau tahap kepuasan pelajar. Rata-rata kesemua pelajar berasa seronok mengikuti aktiviti yang dijalankan dalam menerokai ilmu matematik.

Pada sebelah petang pula, diteruskan dengan Majlis Perasmian Hari IDM2023. Majlis ini dimulakan dengan penceramah jemputan, Dr. Suzielleez Syrene bt Abdul Rahim (UM) yang menyampaikan ceramahnya bertajuk “Matematik Untuk Semua” dan diikuti acara perasmian oleh Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Fakulti Sains, Prof Madya Dr. Siti Hasana Sapar.

Secara keseluruhannya, sambutan permulaan hari IDM2023 ini berjalan lancar. Ianya merupakan salah satu usaha Jabatan Matematik dan Statistik bagi menyokong dan memberi kesedaran akan kepentingan matematik kepada semua.  Selepas ini akan menyusuri aktiviti-aktiviti daripada Kelab Mahasiswa Matematik dan Statistik (KMMS), Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains (FaSSA) dan dari Jabatan sendiri bagi menyemarakkan lagi sambutan IDM2023. Pada bulan Mei 2023 nanti, Jabatan akan melengkapi keseluruhan hari IDM2023 pada tahun ini dengan mengadakan majlis penutup.

Tarikh Input: 20/03/2023 | Kemaskini: 23/03/2023 | adrianaarissya

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXDdDA3~