Karnival Putra@Serdang Suntik Minat Pendidikan STEM | FAKULTI SAINS
» BERITA » Karnival Putra@Serdang Suntik Minat Pendidikan STEM

Karnival Putra@Serdang Suntik Minat Pendidikan STEM

SERDANG-Dalam usaha, peranan dan komitmen untuk memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya kepada sekolah-sekolah harian di Daerah Hulu Langat, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat telah menganjurkan Program Karnival Putra@Serdang 2020 (KPS2020) pada 27 Februari 2020 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Serdang, Seri Kembangan Selangor.

Penganjuran yang julung kalinya ini berjaya menarik penyertaan hampir 1500 pelajar dari 39 buah sekolah menengah harian di Daerah Hulu Langat yang  memberi fokus utama kepada matapelajaran Fizik di samping pelbagai sudut pameran penyelidikan seperti Physics is Fun, Recycling@U, Rocket Mania, Model Keretapi Terapung Superkonduktor Bermagnet dan Bas Pengembangan UPM daripada Pusat Tranfomasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM.

Aktiviti seperti demonstrasi sains dan permainan berkonsepkan sains seperti cerapan sun spot matahari dan Rocket Challenge menarik minat pelajar dan guru-guru terhadap program ini. Di samping itu, Pertandingan Inovasi Putra@Serdang (PIPS2020) yang berjaya menarik penyertaan 14 buah sekolah sekitar Daerah Hulu Langat telah memberi pendedahan ruang dan peluang kepada murid dan guru untuk sama-sama membangunkan inovasi yang berteraskan Green Physics dan sekali gus mampu meningkatkan pemahaman, menggalakkan pembelajaran kendiri dan memberi ruang kepada murid bekerja dalam satu pasukan.

PIPS2020 telah mendapat kerjasama dan tajaan sepenuhnya dari Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS).

Majlis perasmian penutupan telah di sempurnakan oleh Dr. Ihsan Ismail, Ketua Pusat STEM Negara, yang menyatakan bahawa generasi muda terutama pelajar sekolah menengah perlu bersiap siaga dalam mendepani revolusi industri 4.0 khususnya dengan mempunyai pengetahuan dalam bidang STEM dengan lebih mantap lagi.

Beliau turut menyatakan, pendidik terutama guru-guru di sekolah berhadapan dengan cabaran terutama dalam menyediakan kaedah penyampaian ilmu yang menarik, mudah difahami dan praktikal. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memberi dorongan kepada anak-anak mereka untuk memilih STEM sebagai hala tuju pembelajaran mereka.

Hadir sama pada majlis perasmian penutupan program ini ialah Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Awang Kechik, Pengarah Karnival Putra@Serdang 2020, Prof. Madya Dr. Chen Soo Kien, Ketua Projek KPS2020, Prof. Madya Dr. Lim Kean Pah, mewakili Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS), Pengetua SMK Desa Serdang, wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat dan guru-guru yang terlibat dalam penganjuran program KPS2020 ini.

 

Berita/Foto: Sabri Omar

 

 

Tarikh Input: 13/03/2020 | Kemaskini: 13/03/2020 | nashrin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXDdTAe~