Langkah Kecil Bersama BioGreen Week | FAKULTI SAINS
» BERITA » Langkah kecil bersama BioGreen Week

Langkah kecil bersama BioGreen Week

Langkah kecil bersama BioGreen Week

 

OlehMuhammad Hafizzudin Ibrahim, Nur Syaherah Mohamad Sabri, Nur Allya Muhamad Rizal dan Nur Afiqah Mad Nor

 

SERDANG- Seramai 86 orang pelajar dari Universiti Putra Malaysia dan 20 orang peserta awam telah menyertai program BioGreen Week 1.0 2020 yang bertujuan membantu menyebarkan kesedaran untuk melindungi alam sekitar dalam kalangan masyarakat dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti.

Aktiviti ini telah dianjurkan oleh Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Jabatan Biologi, UPM.

Program lima hari yang bertemakan ‘Our Promise to Our Planet’ menarik pelajar daripada pelbagai bidang pengajian dan juga orang ramai dari pelbagai organisasi.

Penyertaan dari UPM terdiri daripada pelajar dari Fakulti Sains, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Fakulti Ekologi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Bioteknologi dan Biomolekul, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dan Fakulti Pengajian Pendidikan.


Manakala penyertaan dari institut pengajian tinggi adalah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Kolej Matrikulasi Melaka, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Arau, Perlis dan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu.

 

Antara aktiviti yang telah diadakan ialah ‘Plastic Free’, ‘Think Green’, ‘3R (Reduce, Reuse & Recycle),’ ‘Ocean Game Challenge’ dan ‘Earth Day’.

Program ini merupakan platform terbaik untuk melibatkan pelajar dalam aktiviti yang dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mereka tentang pentingnya penjagaan alam sekitar melalui pembelajaran dan mempraktikkannya dalam norma baharu.

Sepanjang senario pandemik Covid-19 yang berlangsung kini, Instagram dan YouTube telah menjadi platform utama dan alat yang berkesan untuk menyatakan kreativiti dan inovasi pelajar.

 

Penasihat KMB dan program, Dr Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata, BioGreen Week 1.0 2020 adalah program julung kali yang telah dianjurkan oleh KMB.

Menurutnya tema ‘Our Promise to Our Planet’ mendorong pelajar dan masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam visi ke arah menjadikan planet yang lebih sihat dan lebih baik untuk didiami.

“Berbanding dengan aktiviti KMB yang lainBiogreen Week 1.0 2020 adalah program dalam talian yang dirancang untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi penggunaan media sosial. Hal ini disebabkan oleh media sosial adalah cara yang berkesan untuk menyampaikan mesej dan berita terutama semasa norma baharu ini, ”katanya.

Sementara itu, penasihat KMB dan program, Dr. Bokhary Zainal berkata, program ini bertujuan untuk mendorong pelajar melindungi dan memulihara alam sekitar.

Beliau berkata, walaupun Biogreen Week 1.0 2020 adalah program pertama yang diadakan oleh KMB, program ini telah mendapat banyak maklum balas positif daripada pelajar UPM dan juga pelajar dari institusi pengajian tinggi yang lain.

‘BioGreen Week 1.0 2020’ adalah inisiatif UPM, khususnya usaha Jabatan Biologi untuk melahirkan pelajar yang berkebolehan, bertanggungjawab, berpengetahuan dan berdaya saing pada masa hadapan, ”katanya.

Pengarah Program, Noor Farah Adilah Mat Yusof berkata bahawa norma baharu bukanlah satu alasan tetapi satu cabaran bagi pelajar untuk cemerlang dan menjadi seseorang yang lebih baik.

“Dengan program ini, kita dapat mewujudkan masyarakat penyayang yang sanggup berkorban untuk alam sekitar. Saya harap BioGreen Week 1.0 2020 dapat menjadi langkah kecil untuk masa depan yang lebih hijau,” katanya. - UPM

 

Tarikh Input: 10/02/2021 | Kemaskini: 10/02/2021 | nashrin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXDdUAU~