Peserta GENIUS Remaja B40 Perkasa Pengetahuan Biologi | FAKULTI SAINS
» BERITA » Peserta GENIUS Remaja B40 perkasa pengetahuan biologi

Peserta GENIUS Remaja B40 perkasa pengetahuan biologi

TASIK CHINI – Seramai 44 orang Mahasiswa Kelab Mahasiswa Biologi (KMB-FASSA), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan 27 pelajar program GENIUS Remaja B40 menyertai program Biologist Outreach 2.0: Bio-Superhero 2020, di sini baru-baru ini.

Pelajar GENIUS Remaja B40 yang berumur antara 13- 17 tahun itu adalah pelajar yang tinggal di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) disekitar Kuala Lumpur seperti PPR Sri Pantai, PPR Pantai Ria, PPA Desa Rejang dan PPR Kg. Muhibbah.

Program itu dianjurkan oleh Kelab Mahasiswa Biologi (KMB-FASSA), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM dengan kerjasama Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), UKM, Pahang. Ia bertemakan “Biology Adventure in Community” dan dikendalikan di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), UKM.

Program itu memerlukan mahasiswa berani menampilkan diri dan menyerlahkan pengetahuan, bakat serta kemahiran dalam bidang biologi dan dalam masa yang sama memperkasakan ilmu sains biologi di luar bilik darjah melalu program pemindahan ilmu kepada komuniti.

Minda pelajar diasah untuk berfikir di luar kotak dalam mencari solusi untuk pelbagai masalah yang berkaitan ilmu biologi di samping menerapkan sifat ingin tahu dalam diri seorang bakal saintis.

Penasihat program dan KMB, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata ia bagi memupuk minat pelajar dari golongan belia B40 terhadap bidang aliran Sains terutama Sains Biologi.

Katanya, program itu juga mengajak mahasiswa dan pelajar untuk mengikuti program sukarelawan ke arah melahirkan insan yang sentiasa peka dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk membangunkan kualiti hidup melalui pendidikan yang sempurna.

“Dalam program ini, minda peserta diasah untuk berfikir di luar kotak dalam mencari solusi untuk pelbagai masalah yang berkaitan dengan ilmu biologi di samping menerapkan sifat ingin tahu dalam diri seseorang,” katanya.

Penasihat program dan KMB,  Dr Bokhary Zainal pula berkata, program itu dapat membantu peserta mempelajari tentang kepentingan ilmu Biologi yang diaplikasikan dalam setiap aspek kehidupan seharian dan mampu meningkatkan minat terhadap Biologi.

Program turut mendapat tajaan serta sokongan daripada Fakulti Sains, UPM serta syarikat Raspberry ribbons, Techouz, MYC dan MafixWorld. 

Ketua, PERKASA UKM, Dr. Nasrudin Subhi berkata beliau berpuas hati kerana objektif program berjaya dicapai melalui aktiviti permainan dan aktiviti hands-on bertemakan alam sekitar.

“Program ini telah berupaya memupuk semangat kerjasama, setia kawan, kepimpinan serta perpaduan sesama mereka yang terlibat,” katanya.

Pengarah program, Farrafarhana anak Jerom berharap melalui program itu dapat membentuk kerjasama antara mahasiswa dan komuniti, seterusnya memperkasakan semangat kesukarelawanan mahasiswa dan memupuk minat peserta dalam mendalami pengetahuan dalam bidang biologi 

“Apa yang lebih menarik, peserta telah mengekspresikan ilmu biologi dengan menghasilkan pasu bunga menggunakan bahan-bahan kitar semula diinspirasikan oleh mereka sendiri dan persekitaran sekeliling,” katanya. - UPM

Tarikh Input: 19/04/2020 | Kemaskini: 19/04/2020 | nashrin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXDdFAj~