UPM Anjur Aktiviti Kebersihan Pantai Bersama Pelajar Sekolah Di Mersing | FAKULTI SAINS
» BERITA » UPM anjur aktiviti kebersihan pantai bersama pelajar sekolah di Mersing

UPM anjur aktiviti kebersihan pantai bersama pelajar sekolah di Mersing

Oleh : Dr. Ernee Noryana Muhamad

MERSING, 2 Julai – Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan aktiviti pembersihan pantai bersama 34 pelajar Sekolah Menengah Kajang Utama (KUSeS) di Mersing bagi memupuk kesedaran tentang kebersihan pantai.

Program yang mendapat kerjasama Majlis Daerah Mersing ini telah berlangsung selama tiga hari bertemakan “Keep Our Beach Beautiful.”

Penyelaras program, Dr. Ili Syazana Johari berkata, rasa kebertanggungjawaban ini perlu dipupuk dari peringkat awal dan tidak hanya terhad dalam menjaga kebersihan pantai sahaja.

“Ramai orang suka berkunjung ke pantai terutama cuti persekolahan tetapi mengambil sikap sambil lewa tentang pengurusan sampah. Kami terlah temui banyak bekas makanan dan minuman serta botol plastik di sini,” katanya.  

Tambah beliau, sampah terutama bahan plastik bukan hanya mengotori pemandangan dan mencemari persekitaran pantai tetapi memberi ancaman kepada hidupan laut sekiranya dibawa arus semasa air pasang.

“Sisa plastik yang terurai di dalam laut lama-kelamaan boleh bertukar menjadi mikroplastik. Mikroplastik merupakan plastik yang mengalami proses pereputan sehingga menjadi partikel-partikel halus yang bersaiz kurang dari 5 milimeter.

 

“Pencemaran mikroplastik ini merupakan ancaman besar kepada hidupan laut dan boleh memudaratkan kesihatan kita sekiranya kita makan hidupan laut seperti ikan yang dicemari oleh mikroplastik,” katanya.

Sepanjang berlangsungnya aktiviti pembersihan pantai, sebanyak 602 kg sampah yang kebanyakannya terdiri daripada bekas makanan dan minuman serta botol plastik berjaya dikutip di sekitar kawasan Pantai Bandar dan Pantai Air Papan, Mersing.

Selain itu, pantai yang kotor bukan sahaja mencemari pemandangan, malah ia juga memberi persepsi negatif kepada pelancong luar negara yang datang berkunjung ke Mersing khasnya.

Para pelajar kemudiannya diberi taklimat berkenaan kempen pemuliharaan penyu oleh wakil NGO Tengah Island Conservation, Mohd Alzam Affendy.

Menurut beliau, pantai Mersing adalah antara pantai di Malaysia yang menjadi tempat tumpuan penyu bertelur dan dalah penting untuk masyarakat memastikan kawasan pantai bersih dan selamat bagi penyu mendarat.

Sementara itu, penerangan ringkas berkenaan jenis-jenis plastik dan pengurusan bahan buangan turut diberikan oleh pensyarah Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UPM.

Proses pemindahan ilmu secara santai ini diharap dapat menambahkan pengetahuan para pelajar dan secara tidak langsung membantu pelajar memahami jenis-jenis sampah, kepentingan pengurusan sisa dan kitar semula.

Di akhir program, peserta dan komuniti tempatan di daerah Mersing bersama-sama melakukan aktiviti pembersihan pantai sempena program ‘Johor Bersih 2022’ yang telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Encik Mohd Norman Haji Noh. - UPM

 

Rujukan berita asal boleh dirujuk di Laman Web Rasmi UPM

Tarikh Input: 10/08/2022 | Kemaskini: 10/08/2022 | nashrin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXDdVAr~