UPM Rangkul Juara Dan Pendebat Terbaik Debat Nuklear 2022 | FAKULTI SAINS
» BERITA » UPM Rangkul Juara dan Pendebat Terbaik Debat Nuklear 2022

UPM Rangkul Juara dan Pendebat Terbaik Debat Nuklear 2022

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang

 

BANGI, 30 Jun - Pasukan debat Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Nuklear 2022 serta turut meraih pendebat terbaik peringkat akhir pertandingan tersebut.

Mereka mengalahkan enam pasukan pendebat dari Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara menerusi pertandingan yang berlangsung sejak 28 Jun yang lepas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada pusingan akhir pertandingan tersebut pasukan UPM sebagai kerajaan telah bertemu dengan pasukan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai pembangkang dengan usul perdebatan ‘Bebas Karbon 2050: Sudah Tiba Masanya Malaysia Mengimplementasikan Loji Jana Kuasa Nuklear’.

UPM yang dibarisi oleh empat pendebat iaitu Nur Ain Aqilah Rosli, Bacelor Sains Statistik Dengan Pendidikan, Fakulti Sains, Muhammad Hakim Nor Zamani, Bacelor Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Iskandar Zikry Zakaria, Bacelor Pendidikan Bimbingan Dan Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan dan pendebat simpanan Muhammad Alif Mohd Roaim, Bacelor Sains Fizik Dengan Pendidikan, Fakulti Sains pulang dengan hadiah piala pusingan, wang tunai RM3,000 dan sijil pencapaian.

Naib johan pula dimenangi USIM yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil pencapaian. 

Sementara itu, anugerah pendebat terbaik yang dirangkul oleh Nur Ain Aqilah membawa pulang hadiah plak dan sijil kemenangan.

Mengulas mengenai kemenangannya itu, beliau berkata kejayaannya itu menjadi titik permulaan yang lebih jauh buat dirinya dan juga Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KDBM Putra) untuk terus menempa nama dalam dunia pengucapan awam.

“Saya sangat bersyukur atas penerimaan anugerah ini setelah sekian lama saya berusaha untuk memantapkan gaya perdebatan. Selain itu, UPM juga sudah agak lama berehat menjuarai mana-mana pertandingan debat,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, (AELB), Raja Abdul Aziz Raja Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Noraishah Pungut, dan Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat Agensi Nuklear Malaysia, Habibah Adnan. - UPM

Tarikh Input: 01/07/2022 | Kemaskini: 04/07/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXDdVAV~