200 Pelajar MRSM Sertai Program Nobel Laureate’s Outreach Camp (NLOC 2016) | FACULTY OF SCIENCE
» NEWS » 200 Pelajar MRSM Sertai Program Nobel Laureate’s Outreach Camp (NLOC 2016)

200 Pelajar MRSM Sertai Program Nobel Laureate’s Outreach Camp (NLOC 2016)

Bertemakan  “Scientist for Tomorrow” seramai 200 pelajar tingkatan empat dari 49 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara telah menyertai program Nobel Laureate’s Outreach Camp (NLOC 2016) yang telah diadakan pada 9 – 12 Ogos 2016 bertempat di Universiti Putra Malaysia Serdang Selangor.

Program kali ke 4 ini  yang dianjurkan bersama oleh Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Fakulti Sains, Fakulti Pertanian dan Fakulti Pengajian Alam Sekitar UPM bertujuan untuk memberikan pendedahaan baharu kepada para pelajar MRSM tentang keunikan ilmu sains dalam kehidupan seharian. Pelbagai cabang ilmu sains bakal dikupas oleh ahli ilmuan sains secara lebih terperinci yang  merangkumi bidang biologi, fizik, kimia, matematik, pertanian dan alam sekitar.

Para pelajar MRSM akan didedahkan kepada Ilmu sains yang istimewa dan sistematik, ilmu yang membina dan mempersembahkan ilmu pengetahuan dalam bentuk penjelasan yang boleh diuji dan membuat ramalan tentang alam semesta, ilmu yang berkait rapat dengan ilmu pengetahuan yang boleh menjelaskan sesuatu secara rasional dan boleh diaplikasi.

Pemilihan tema “Scientist for Tomorrow” pada tahun ini sememangnya sejajar dengan misi dan matlamat program NLOC 2016, iaitu untuk menambahkan pengkayaan bagi subjek Sains dan Matematik dengan mengadakan pelbagai aktiviti kemahiran untuk menjalankan penyelidikan. Dalam skala yang lebih tinggi, sains dan matematik dapat membantu membangunkan kehidupan manusia untuk hidup dengan lebih selesa lagi. Program ini juga adalah satu usaha untuk membentuk pelajar yang berpotensi, mempunyai pelbagai kemahiran serta dapat membentuk ciri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi negara di mata dunia.

Enam peserta yang menampilkan kecemerlangan dalam program ini mengikut bidang masing-masing iaitu bidang biologi, fizik, kimia, matematik, pertanian dan alam sekitar di anugerahkan “Saintis Bestari NLOC 2016” bagi mengiktiraf kecemerlangan mereka menyelesaikan tugasan yang diberi.

Majlis penyampaian sijil  di sempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Ir. Renuganti Varatharajoo, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UPM yang mewakili Naib Canselor UPM dan Yang Berbahagia En. Halim Abas, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA yang mewakili Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA).


Updated:: [hajaralias]

MEDIA SHARING

FACULTY OF SCIENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389466601
0389432508
C1511380956