237 Pelajar SMK Bandar Baru Bangi Sertai MATHATHON 2017 | FACULTY OF SCIENCE
» NEWS » 237 Pelajar SMK Bandar Baru Bangi Sertai MATHATHON 2017

237 Pelajar SMK Bandar Baru Bangi Sertai MATHATHON 2017

Berita/foto : Sabri Omar

Bagi menanam minat,  sifat seronok dan teknik yang betul dalam mempelajari dan menjawab soalan subjek matematik tambahan dan matematik moden, Jabatan Matematik Fakulti Sains UPM dengan kerjasama SMK Bandar Baru Bangi Selangor telah menganjurkan Program MATHATHON2017 pada 30 September 2017  hingga 1 Oktober 2017.

Program yang berlangsung selama dua hari di Dewan Kuliah Pusat (DKAP) UPM telah menarik penyertaan seramai 237 orang pelajar tingkatan lima SMK Bandar Baru Bangi Selangor yang akan menduduki perperiksaan SPM tidak lama lagi.

Antara objektif program ialah untuk memberi pendedahan teknik yang betul dalam menjawab soalan matematik, menanam sifat minat dan seronok menyelesaikan masaalah matematik serta memecah minda pelajar  yang menganggap subjek matematik adalah susah. Di samping itu program ini diharapkan dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar dalam  peperiksaan SPM.

Pelajar dibahagikan kepada tiga  kumpulan di mana kumpulan pelajar yang cemerlang didedahkan kepada teknik dan kaedah berfikir yang lebih terbuka dalam mendalami ilmu matematik pada peringkat soalan  aras tinggi manakala kumpulan pelajar sederhana diberi fokus kepada teknik dan cara menjawab dan penyelesaian  soalan peperiksaan. Bagi kumpulan pelajar yang lemah, program ini mendedahkan mereka dengan cara dan idea untuk mengatasi kelemahan mereka dalam memahami soalan dan mencari jalan penyelesaian soalan matematik tersebut.

 

Program MATHATHON2017 telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan Matematik UPM, Prof. Madya Dr. Zarina Bibi Ibrahim sementara para pensyarah Jabatan Matematik bertindak sebagai pengajar mengikut kepakaran bidang masing-masing dengan dibantu oleh pelajar Bacelor Sains dengan Pendidikan Major Matematik yang bertindak sebagai fasilitator.

Updated:: 09/10/2017 [rosrizal]

MEDIA SHARING

FACULTY OF SCIENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389466601
0389432508
C1508777927