Pelajar BS (K) Kimia Fakulti Sains Curah Ilmu Di Program ‘Science For Youth 2017’ | FACULTY OF SCIENCE
» NEWS » Pelajar BS (K) Kimia Fakulti Sains Curah Ilmu Di Program ‘Science For Youth 2017’

Pelajar BS (K) Kimia Fakulti Sains Curah Ilmu Di Program ‘Science For Youth 2017’

JITRA, 15 April  - Program Science For Youth 2017 anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasasama Fakulti Sains UPM telah diadakan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), Jitra, Kedah pada 15 hingga 16 April 2017 yang lalu. Program ini telah dilaksanakan oleh Kursus Bakti Siswa kumpulan 55 yang di ketuai oleh saudara Wan Muhammad Rahmat Syazuli Bin Wan Harun dan dibawah seliaan Dr Norizah Abd Rahman dengan kerjasama Fakulti Sains UPM dan Alumni Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim.

Kursus Bakti Siswa kumpulan 55 terdiri daripada 33 orang mahasiswa Bacelor Sains (Kepujian) Major Kimia yang berperanan sebagai penggerak utama dan juga fasilitator program ini. Seramai 120 orang pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) telah menyertai program ini.

 

Tujuan utama program Science For Youth 2017 ini diadakan adalah untuk menyemai minat ke dalam diri para pelajar sekolah terhadap bidang sains melalui pendedahan tentang teori-teori sains serta aplikasinya dalam kehidupan seharian. Demonstrasi sains berkaitan dengan topik-topik sains tulen Tingkatan 4 juga telah dilaksanakan bagi memberikan peluang kepada pelajar untuk menjalankan eksperimen ringkas, supaya mereka dapat belajar tidak hanya berdasarkan teori sahaja, tetapi juga melalui praktikal. Dengan adanya program seperti ini, bukan sahaja pelajar sekolah yang mendapat kelebihan, malah fasilitator yang terlibat juga dapat memperoleh pengalaman berkhidmat untuk masyarakat luar. Selain itu, melalui program ini juga, mahasiswa UPM dapat meningkatkan kemahiran insaniah seperti etika moral, kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, keusahawanan dan kerja berpasukan.

 

Wakil pelajar dari SMSAH, Mohd Zulhilmi Azhar berkata, beliau sangat gembira kerana terpilih untuk menjadi salah seorang peserta program kerana banyak ilmu baru yang diperoleh dari program ini. “Jika dahulu, saya sering menggunakan konsep hafalan semata-mata untuk semua subjek, akan tetapi sebenarnya terdapat pelbagai jenis konsep baru seperti untuk mendarab matematik dengan cepat, menyelesaikan masalah sains dengan menganalisis segala kemungkinan yang berlaku dan sebagainya. Segala konsep yang dipelajari membuatkan saya sukakan subjek Sains dengan lebih mendalam,” katanya.

Salah seorang daripada fasilitator program Nur Syahirah Bt Razali berkata, beliau bersyukur kerana dengan adanya program ini beliau dapat membimbing ramai pelajar sekolah tentang ilmu sains. Beliau berkata, “Menerusi program ini, saya menyedari bahawa pentingnya pelajar mengetahui dan menguasai ilmu sains sejak dari Tingkatan 1. Di samping itu, saya juga dapat mengaplikasikan ilmu yang saya peroleh dari program ini pada masa depan”.

Sementara itu, seorang daripada fasilitator program iaitu, Mohd Eizlan Shah Bin Mohd Faizalberkata, beliau amat gembira dan teruja kerana berpeluang menjadi salah seorang fasilitator program. Beliau berkata, “Melalui program ini, saya dapat berkongsi segala ilmu yang saya ada dan peroleh selama ini kepada pelajar-pelajar. Malah saya juga senang dapat membantu pelajar Tingkatan 1 ini dalam menyesuaikan diri di asrama dan sekolah kerana ini merupakan pengalaman pertama mereka berjauhan dengan keluarga”.

Guru Penolong Kanan 1 SMSAH, En. Mansor Bin Abdul berkata, program seperti ini diharapkan dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana banyak impak positif yang diperoleh oleh pelajar-pelajar SMSAH tidak kira dalam bidang pelajaran mahupun dari segi kehidupan pelajar itu sendiri.

“Besar harapan saya agar pelajardapat mencapai impian dan cita-cita mereka serta melakar memori indah semasa di alam persekolahan. Semoga pengalaman sepanjang bergelar pelajar ini mampu menjadikan diri ke tahap yang lebih baik dalam membina masa depan serta berbakti kepada agama dan bangsa”.- UPM

Updated:: 11/05/2017 [hajaralias]

MEDIA SHARING

FACULTY OF SCIENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389466601
0389432508
C1503012184