Bagi menjalin kerjasama ke arah kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universitas Lampung (Unila) Malang, Indonesia telah menganjurkan Program Pendidikan Nusantara pada 5 – 9 Ogos 2019.
Fakulti Sains UPM yang menjadi tuan rumah program ini menerima kunjungan delegasi 13 orang pelajar siswazah dan pra siswazah, empat orang tenaga pengajar akademik yang diketuai oleh Prof. Dr. Sutopo Hadi, Timbalan Dekan Akademik dan Kolaberasi Universitas Lampung (Unila) Malang Indonesia.
Program yang julung kali diadakan di antara dua institusi pendidikan tinggi dari Malaysia dan Indonesia ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang konsep dan budaya yang diamalkan antara kedua buah negara di samping memantapkan pengetahuan dan kemahiran sosial pelajar di peringkat antarabangsa.
Bagi Fakulti Sains, program ini dapat membantu menjayakan aspirasi Universiti Putra Malaysia khususnya dalam menjalin kerjasama dalam jaringan penyelidikan, mobiliti pelajar antarabangsa, latihan pegawai akademik dan pelaksana serta pertukaran maklumat.
Taklimat dan penerangan mengenai Fakulti Sains dan Universiti Putra Malaysia telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Khamirul Amin Matori, Timbalan Dekan Pembangunan dan Jaringan Industri Fakulti Sains. Hadir sama ialah Penyelaras Program Pengajian Siswazah, Ketua Jabatan Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik, pegawai akademik Jabatan Fizik serta wakil dari Pusat Antarabangsa UPM.
Berita/Foto: Sabri Omar
Date of Input: 13/08/2019 | Updated: 13/08/2019 | nashrin
Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA