MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KALI KE-44 ANUGERAH IJAZAH KEPADA 5,695 GRADUAN | FAKULTI SAINS
» BERITA » MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KALI KE-44 ANUGERAH IJAZAH KEPADA 5,695 GRADUAN

MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KALI KE-44 ANUGERAH IJAZAH KEPADA 5,695 GRADUAN

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 8 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) melangsungkan Majlis Konvokesyen UPM Ke-44 Tahun 2022 pada 8 Januari hingga 13 Januari 2022 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Ini adalah majlis konvokesyen UPM yang pertama sejak negara dilanda pandemik COVID-19 mulai awal 2020 lalu.

Pada 12 Januari 2022 (Sesi Kelima), Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan memasyhurkan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie dan Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Syed Jalaludin Syed Salim sebagai Pro Canselor UPM selama tempoh tiga tahun mulai 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.

Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (Master), Bacelor dan Diploma kepada graduan pada hari kelima (12 Januari, sesi kelima) pada majlis itu.

Majlis pengurniaan ijazah sebanyak enam sesi selama enam hari itu akan turut disempurnakan oleh tiga Pro Canselor UPM iaitu, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sesi keenam (13 Januari), Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim pada sesi pertama (8 Januari) dan sesi kedua (9 Januari) dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie pada sesi ketiga (10 Januari) dan sesi keempat (11 Januari).

Seramai 5,695 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing terdiri daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 398, Ijazah Sarjana (Master) seramai 1,093, Bacelor (3,544) dan Diploma (660).

Tuanku Canselor juga berkenan mengurniakan hadiah kepada Pemenang Hadiah Peringkat Universiti iaitu Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Aini Nazihah Hasin@Hassan daripada program Bacelor Sains Fizik Dengan Kepujian, Fakulti Sains; Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputra) kepada Putera Mohamad Iskandar Jamil program Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian dan Anugerah Pelajaran Diraja (bukan Bumiputra) kepada Chow Heng Yee program Bacelor Sains Pembangunan Manusia, Fakulti Ekologi Manusia pada 12 Januari 2022.

Pingat lain akan di sampaikan oleh Pro Canselor UPM, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Syed Jalaludin Syed Salim pada 8 Januari 2022 iaitu Pingat Emas Alumni kepada Lim Jia Yie program Bacelor Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar; Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada Michelle Tiong Chia Weng program Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua), Fakulti Pengajian Pendidikan; Pingat Putra Agribio kepada Muhammad Ali Imran Razali program Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar; Pingat Razlan Putra kepada Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan program Bacelor Sains (Pembangunan Manusia), Fakulti Ekologi Manusia; Anugerah Keusahawanan Pengusaha Stesen Shell kepada Ijlali Husna Alias program Bacelor Pendidikan (Sains Rumahtangga), Fakulti Pengajian Pendidikan; Anugerah Tun Abdul Razak kepada Chow Heng Yee program Bacelor  Sains Pembangunan Manusia, Fakulti Ekologi Manusia;  Pingat Emas Doktor Falsafah Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals kepada Farhatun Najat Maluin (PhD Nanoteknologi), Institut Nanosains dan Nanoteknologi; Pingat Emas Master Dengan Thesis kepada Sanchez Philip Donald Cabuga  (Master Sains Agricultural Process Engineering), Fakulti Kejuruteraan; Pingat Emas BasNet Doktor Falsafah kepada Dr. Nor Sa’adah Jamaluddin, (PhD Curriculum and Instruction), Fakulti Pengajian Pendidikan dan Hadiah Syed Kechik kepada Fatimah Marwa Jaapar, program Bacelor Sains Biokimia dengan Kepujian, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.

Majlis Konvokesyen ini juga bakal menyaksikan pengijazahan bagi program sulung Master Keusahawanan apabila seramai sebelas graduan akan bergraduat pada 8 Januari 2022 (Sabtu, Sesi 1).

Sementara itu, antara atlet negara yang akan bergraduat ialah Syed Syafiq Syed Cholan (Hoki), Nur Fatihah Mohammad Tahir (Menembak), Mohamed Farhan Hafsyam Zahid (Olahraga), Priyashankari Hari Sankar (Karate), Muhamad Hafzan Bakri Md Roni (Ragbi), Dzafran Asyraf Zainuddin (Ragbi) dan Muhammad Kamal Ishak (Sepak Takraw).

Majlis konvokesyen ini meraikan para graduan yang juga menjadi agenda penting dalam  Pelan Strategik UPM  2021-2025 iaitu, menyokong hasrat melalui Matlamat 1: Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang. - UPM

Tarikh Input: 08/01/2022 | Kemaskini: 08/01/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXESXAm~