Kelab Mahasiswa Biologi Anjur BioGreen Week 5.0 (International) 2025: “Empowering Science Influencers For A Sustainable Future” | FACULTY OF SCIENCE science
» NEWS » Kelab Mahasiswa Biologi Anjur BioGreen Week 5.0 (International) 2025: “Empowering Science Influencers for a Sustainable Future”

Kelab Mahasiswa Biologi Anjur BioGreen Week 5.0 (International) 2025: “Empowering Science Influencers for a Sustainable Future”

 

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Norzaina Darus, Syafiq Hariz Mohd Hanafiah, Muhammad Aniq Mirza Mohd Mulana, Anis Areefa Arfa Amri, Mohamad Azim Salim, Fathiah Akmal Jamaludin dan Nur Amanda Safiyya Azman

 

SERDANG, 17 Mei – Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa, Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah berjaya menganjurkan program tahunan BioGreen Week 5.0 (International Edition) 2025 secara dalam talian bermula 1 April – 17 Mei 2025 yang lalu.

 

Program yang bertemakan “Empowering Science Influencers for a Sustainable Future” ini bertujuan memupuk kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat umum terhadap kelestarian alam sekitar melalui platform media sosial seperti Instagram, Facebook, TikTok dan YouTube rasmi Kelab Mahasiswa Biologi.

 

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, program ini bukan sahaja menggalakkan peserta menyebarkan kesedaran melalui pendekatan kreatif, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk mengasah bakat kepimpinan dan kemahiran insaniah sebagai pempengaruh yang berhemah.

 

“Melalui penyertaan aktiviti bertemakan cabaran yang menekankan aspek alam sekitar, para peserta mampu menerapkan nilai-nilai kelestarian dan menyampaikan mesej pemeliharaan alam sekitar secara berkesan menggunakan media digital,” katanya.

 

Sepanjang program berlangsung, empat cabaran mingguan telah dilaksanakan, iaitu #Zero Plastic Heroes, #Recycle Heroes, #EcoCrafts, dan #Green Canvas Superheroes. Setiap cabaran menekankan elemen kelestarian, pengurusan sisa, inovasi dalam kitar semula, serta seni kreatif berasaskan bahan terpakai.

 

Majlis penutupan rasmi telah disiarkan secara langsung pada 17 Mei 2025, menyaksikan pengumuman pemenang pelbagai kategori mengikut setiap cabaran.

 

Pengarah program, Muhammad Aniq Mirza Bin Mohd Mulana, menyatakan harapannya agar usaha ini dapat mencetus lebih banyak inisiatif hijau dalam kalangan mahasiswa dan komuniti.

 

“Melalui pendekatan digital, kita dapat menyampaikan mesej kelestarian dengan lebih luas dan efektif. Program ini membuktikan bahawa anak muda mampu menjadi agen perubahan yang berpengaruh,” ujarnya.

 

 

Tahun ini, BioGreen Week 5.0 telah mencatatkan jumlah penyertaan yang tinggi iaitu seramai 835 yang terdiri daripada penyertaan sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi, IPTA dan IPTS seluruh Malaysia.

 

 

 

 

 

 

.

Date of Input: 03/07/2025 | Updated: 03/07/2025 | nashrin

MEDIA SHARING

FACULTY OF SCIENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
TIADA
X, (07:44:20pm-07:49:20pm, 06 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]