Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 14 Okt – Dua pasukan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada Fakulti Sains terus mengharumkan nama negara apabila cemerlang dalam Pertandingan Data Analysis Competition (DAC) 2025 yang berlangsung di Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Surabaya, Indonesia, baru-baru ini.
Fakulti Sains yang dianggotai oleh Loo Hui Qian dan Ge Zi Jen, pelajar Tahun Tiga Bacelor Sains Statistik dengan Kepujian, berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan dan dinobatkan sebagai “Master of Data Analysis IV”, membawa pulang trofi serta wang tunai sebanyak 2.5 juta rupiah.

Turut membanggakan, Dharwin Paramasivam dan Toh Jing Yu, pelajar Tahun Dua Bacelor Sains Matematik dengan Kepujian dari fakulti sama, menerima hadiah saguhati, sekali gus meneguhkan reputasi UPM sebagai institusi yang melahirkan bakat muda cemerlang dalam bidang analisis data di rantau ini.
Pensyarah pengiring, Dr. Nur Ezlin Zamri, berkata penyertaan itu menjadi medan penting untuk mengasah bukan sahaja kecekapan teknikal pelajar, malah keupayaan komunikasi dan kerja berpasukan mereka dalam situasi analisis dunia sebenar.
“Pencapaian ini membuktikan pelajar UPM bukan sekadar mahir dalam menganalisis data kompleks, tetapi juga berupaya membentangkan dapatan mereka secara profesional di hadapan panel antarabangsa. Ia memperlihatkan keyakinan dan daya saing global pelajar kita,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, UPM merupakan antara 10 finalis terbaik yang dipilih daripada lebih 100 pasukan universiti di Asia Tenggara pada pusingan awal.
Kedua-dua pasukan kemudiannya diumumkan layak ke peringkat akhir di Hotel Bonnet, Surabaya. Pusingan akhir turut merangkumi seminar ilmiah bertajuk “Statistics for Digital Markets”, sesi pengaturcaraan intensif menggunakan R dan Python, serta pembentangan hasil analisis di hadapan panel juri antarabangsa.
Bertemakan “Decoding Consumer Behavior: Statistical Approaches for Digital Market Insights”, pertandingan DAC 2025 menumpukan kepada analisis tingkah laku pengguna dalam pasaran digital yang kian berkembang, selain memperkenalkan pendekatan statistik inovatif dalam memahami pola pasaran dan strategi digital masa depan.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Himpunan Mahasiswa Statistika ITS ini berjaya menghimpunkan lebih 100 pasukan mahasiswa dari seluruh Asia Tenggara untuk menguji kemahiran analisis data sebenar berasaskan pemikiran statistik, analitik dan kritikal.
Date of Input: 14/10/2025 | Updated: 14/10/2025 | eszereen

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA