Pencapaian Ahli Keluarga Jadi ‘azimat’ Buat Penerima Pingat Emas Canselor | FACULTY OF SCIENCE
» NEWS » Pencapaian ahli keluarga jadi ‘azimat’ buat penerima Pingat Emas Canselor

Pencapaian ahli keluarga jadi ‘azimat’ buat penerima Pingat Emas Canselor

Oleh: Azman Zakaria

SERDANG, 12 Jan: Tekad untuk mengatasi pencapaian akademik kakak dan kedua ibu bapa dijadikan pegangan Aini Nazihah Hasin @ Hassan, yang menjadi dorongan kuat baginya sepanjang pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga membolehkannya memenangi Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen UPM ke-44.

Aini Nazihah, 25, daripada program Bacelor Sains Fizik Dengan Kepujian, Fakulti Sains, menerima Pingat Emas Canselor daripada Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Sesi 5, majlis konvokesyen itu, hari ini.

“Kakak saya, Najatin Ain banyak berusaha sendiri dan saya jadikan dia sebagai contoh. Kakak saya memperoleh ijazah dalam bidang Sains Komputer di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan saya tetapkan sasaran untuk saya memperoleh pencapaian lebih daripada dia,” kata Aini.

Anak kedua daripada sembilan beradik itu berkata, beliau pada mulanya tidak percaya yang dirinya memenangi Pingat Emas Canselor ketika mendapat panggilan telefon daripada UPM yang memaklumkan perkara itu.

“Sukar untuk saya percaya pada awalnya sebab ia hadiah tertinggi ketika konvokesyen,” katanya. 

Katanya, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa dan adik beradik yang mendoakan beliau dan memberi dorongan, serta pensyarah dan rakan-rakan yang membantu sepanjang pengajiannya.

Aini Nazihah yang berasal dari Parit Raja, Batu Pahat berkata, beliau membuat persediaan awal sebelum peperiksaan, dan sebulan sebelum tarikh peperiksaan akan mengulang kaji dengan cara mengajar rakan-rakan.

“Dengan diskusi dan mengajar rakan-rakan, saya dapat mengingat kembali apa yang diajar ketika kuliah,” katanya yang bercadang menyambung pengajian dalam bidang sama di peringkat Ijazah Sarjana (Master). - UPM

Date of Input: 12/01/2022 | Updated: 12/01/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

FACULTY OF SCIENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
CVBSJA:09:30