-
SIMBIOMAS KUPAS HASIL PENYELIDIKAN BIOLOGI
Posted on November 20th, 2009 No comments


BANDAR BARU BANGI - Simposium Biologi Malaysia (SIMBIOMAS) 2009 merupakan acara dwi tahunan yang julung kali diadakan pada 17 – 18 November 2009 bertempat di Hotel Equtoraial, Bangi Selangor. Simposium anjuran Jabatan Biologi Fakulti Sains UPM ini berperanan untuk menyatukan kesemua disiplin Biologi yakni Biodiversiti dan Pemuliharaan Sumber Semulajadi, Biologi Persekitaran, Genetik, Mikologi, dan Fisiologi. SIMBIOMAS juga diharapkan dapat menjadi landasan untuk Biologi Asas, Biologi Gunaan, dan pelopor kepada penyelidikan yang dapat menghasilkan ilmu, kepakaran dan produk yang berpotensi dikomersialkan. Menurut Dr Meenakshii Nailappan, Timbalan Pengerusi SIMBIOMAS 2009 “Simposium ini telah menarik seramai 125 penyertaan dengan 37 pembentang kertas kerja secara lisan dan 64 poster. Di samping itu diadakan pertandingan poster terbaik. Abstrak kertas kerja terpilih akan diterbitkan dalam “Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science (JTAS)” yang diindeks dalam SCOPUS and EBSCO.
“Kami juga rasa bertuah kerana lima pakar Biologi telah menyampaikan ucap utama sepanjang simposium iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latif Mohammad (UKM), Prof. Emeritus Dr. Muhammad Awang (Kolej SEGi), Prof. Dr. Baharuddin Salleh (USM), Prof. Dr. Azimahtol Hawariah Lope Pihie (UKM) dan Prof. Dr. Tan Soon Guan (UPM)”, ujarnya lagi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Cancelor UPM, Prof Datuk Dr. Nik Mustafa R. Abdullah pada 17 November 2009 sementara majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang poster pemyelidikan terbaik telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Cancelor (Penyelidikan & Inovasi) Prof. Dr. Abu Bakar Salleh pada 18 November 2009. Hadir sama dimajlis tersebut ialah Dekan Fakulti Sains, Prof Dr. Sidek Ab. Aziz dan Pengurusan Fakulti Sains.
Teks dan Foto oleh Sabri Omar.
Leave a reply
You must be logged in to post a comment.

