Bahan Kimia Dalam Aktiviti Mendulang Emas: Kecekapan Pengekstrakan, Risiko Dan Implikasi Alam Sekitar | FAKULTI SAINS
» ARTIKEL » Bahan Kimia dalam Aktiviti Mendulang Emas: Kecekapan Pengekstrakan, Risiko dan Implikasi Alam Sekitar

Bahan Kimia dalam Aktiviti Mendulang Emas: Kecekapan Pengekstrakan, Risiko dan Implikasi Alam Sekitar

Aktiviti mendulang dan memproses emas melibatkan penggunaan beberapa bahan kimia utama yang berfungsi untuk memisahkan emas daripada pasir atau batuan. Antara yang paling lazim ialah merkuri, yang digunakan dalam kaedah pengamalgaman kerana keupayaannya mengikat emas secara langsung, dan sianida, yang digunakan dalam proses pelindian (cyanidation) untuk melarutkan emas, terutamanya zarah halus. Walaupun berkesan, kedua-dua bahan ini sangat berbahaya: merkuri bersifat neurotoksik dan mudah mencemari air serta tanah, manakala sianida boleh menyebabkan keracunan akut kepada manusia dan hidupan akuatik jika tidak dikawal. Bahan sokongan seperti kapur (lime) digunakan untuk mengekalkan pH beralkali yang sesuai, manakala bahan lain seperti asid sulfurik dan hidrogen peroksida digunakan pada peringkat pembersihan dan rawatan tertentu. Sisa perlombongan pula sering mengandungi logam berat berbahaya seperti arsenik, plumbum dan antimoni yang boleh kekal lama dalam alam sekitar.

Dari sudut kecekapan pengekstrakan, bahan kimia mempengaruhi sejauh mana emas boleh dibebaskan daripada matriks mineral. Merkuri berkesan untuk kaedah tradisional tetapi kurang cekap bagi emas yang sangat halus, selain membawa risiko kesihatan yang tinggi. Sianida pula lebih cekap untuk emas halus, namun keberkesanannya bergantung kuat kepada kawalan pH dan komposisi bijih; kehadiran logam seperti kuprum boleh mengurangkan kecekapan kerana ia turut bertindak balas dengan sianida. Seiring kesedaran alam sekitar, alternatif lebih lestari seperti thiourea, asid askorbik dan sodium borohidrida sedang dibangunkan bagi menggantikan sianida dalam sesetengah tujuan, walaupun keberkesanannya masih tidak di kaji dengan mendalam. Oleh itu, kefahaman masyarakat tentang fungsi dan risiko bahan kimia ini amat penting untuk menggalakkan amalan pendulangan emas yang lebih selamat, terkawal dan mampan.

 

 

Disediakan oleh: Dr. Mohd Rashidi Abdull Manap AMRSC, FSSM, ahli fakulti di Jabatan Kimia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Tarikh Input: 05/02/2026 | Kemaskini: 05/02/2026 | hidayahsaleh

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
TIADA
X, (07:00:01pm-07:05:01pm, 21 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]