Disediakan oleh: Prof. Madya Dr. Siti Munirah Mohd Faudzi

Tikus atau mencit sering digunakan sebagai model haiwan dalam kajian penyelidikan klinikal. Namun, eksperimen yang melibatkan model mamalia kompleks ini agak mahal, memakan masa, dan mencetuskan kebimbangan berkaitan etika kebajikan haiwan. Sehubungan dengan itu, semua penyelidikan yang menggunakan model in vivo perlu mengikut garis panduan jawatankuasa etika piawaian di mana prinsip "3R" (Penggantian, Penapisan, dan Pengurangan) mesti dilaksanakan sepenuhnya. Selain itu, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) telah mengumumkan bahawa ia akan menghapuskan penggunaan haiwan mamalia dalam ujian toksikologi dan klinikal menjelang tahun 2035. Selaras dengan prinsip dan mandat ini, zebrafish atau nama saintifiknya, Danio rerio, telah muncul sebagai model alternatif in vivo yang berpotensi dalam kajian toksikologi.
Ini kerana zebrafish 70% menyerupai manusia secara genetik, dengan 84% gen menyamai penyakit manusia. Selain itu, ia mempunyai perkembangan luaran dan kadar pembiakan yang cepat, mudah dikendalikan, dan boleh diubah suai secara genetik dengan mudah, membolehkan penyelidikan dilakukan dengan cepat dan efektif. Embrio zebrafish yang telus memudahkan pemerhatian langsung terhadap kesan toksik bahan kimia pada perkembangan organisma hidup, termasuk parameter neurotoksisiti, kardiotoksisiti dan kematian. Ini membolehkan ahli kimia mengesan dan menganalisis perubahan molekul dan selular yang berlaku akibat pendedahan akut (jangka pendek) atau kronik (jangka panjang) kepada sebatian kimia tertentu.
Menurut Arahan EU 2010/63/EU mengenai perlindungan haiwan yang digunakan untuk tujuan saintifik, kehidupan zebrafish sehingga 5 dpf (hari selepas persenyawaan) tidak ditermakan sebagai haiwan, menjadikannya model in vivo yang penting dalam bidang penemuan ubat secara spesifik. Oleh itu, zebrafish adalah model pra-klinikal yang berharga dalam bidang penemuan ubat, neurosains, dan ekotoksikologi, yang dapat membantu memastikan keselamatan dan keberkesanan ubat sebelum ia diuji pada manusia.
Tarikh Input: 04/06/2024 | Kemaskini: 04/06/2024 | hidayahsaleh

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :