Gula-gula bergetah ialah produk yang popular yang diperbuat daripada pelbagai bahan yang menyumbang kepada tekstur, rasa dan rupa yang unik. Sebatian kimia utama yang terdapat dalam gula-gula bergetah termasuk:
Gelatin, yang diperoleh daripada kolagen haiwan, merupakan agen gel yang paling biasa digunakan dalam industri, memberikan tekstur kenyal. Sebagai alternatif, pektin digunakan dalam produk vegan untuk menghasilkan tekstur yang serupa. Selain pektin, gellan gum juga mempunyai keupayaan terhadap persekitaran berasid.
Sukrosa ialah pemanis utama dalam formulasi. Namun, fruktosa turut digunakan kerana indeks glisemiknya yang lebih rendah. Selain itu, xylitol, erythritol, dan maltitol semakin popular sebagai alternatif rendah kalori dan mesra pesakit diabetes. Bahan seperti polydextrose dan oligosakarida turut digunakan sebagai pengganti gula.
Bahan berasid turut digunakan dalam pembuatan gula-gula bergetah untuk meningkatkan rasa dan mengekalkan kestabilannya. Asid sitrik merupakan pilihan utama kerana ia bukan sahaja memberikan rasa masam yang menyegarkan tetapi juga membantu kestabilan dan mengawal pH produk. Selain itu, asid malik dan asid asetik turut digunakan dalam beberapa formulasi untuk memberikan sedikit kepahitan dan meningkatkan daya tahan
Pewarna memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pengguna. Pewarna semulajadi, seperti extrak betacyanin bukan sahaja memberikan warna tetapi juga menawarkan manfaat tambahan seperti sifat antioksidan. Pewarna tiruan juga digunakan sebagai alternatif kepada pewarna semula jadi.

Pelbagai jenis warna dan tekstur produk yang di jual di pasaran
Perisa asli, yang diekstrak daripada buah-buahan, herba, dan sumber semula jadi lain, semakin mendapat perhatian kerana ia meningkatkan deria rasa.
Selain rasa dan tekstur, gula-gula bergetah kini diformulasikan dengan bahan tambahan. Antioksidan seperti Spirulina dan bahan kering beku juga menyumbang kepada manfaat kesihatan. Selain itu, vitamin dan mineral sering ditambah bagi menjadikannya sebagai lebih berkhasiat
Dalam aspek formulasi, air memainkan peranan penting dalam melarutkan gula dan agen pembentuk gel, memastikan kestabilan. Untuk memastikan ketahanan produk, pengawet seperti asid sorbik digunakan bagi menghalang pertumbuhan mikrob dan memanjangkan jangka hayat gula-gula bergetah.
Tercekik Gummy Candy.
Tercekik gula-gula bergetah ialah perkara yang membimbangkan, terutamanya di kalangan kanak-kanak, disebabkan oleh sifat fizikal gula-gula dan juga ciri-ciri perkembangan kanak-kanak kecil.
Gula-gula bergetah biasanya dikelaskan pada IDDSI Level RG7, bermakna ia tidak mudah terurai kepada zarah yang lebih kecil. Ini boleh meningkatkan risiko tercekik kerana gula-gula kekal padat dan melekit, berpotensi menghalang saluran pernafasan
Makanan seperti gula-gula, adalah punca utama kecederaan tercekik dan kematian pada kanak-kanak. Menurut kajian di Amerika Syarikat pada tahun 2013, gula-gula keras dan jenis gula-gula lain sering dikaitkan dengan insiden tercekik yang tidak membawa maut, dengan gula-gula keras menyumbang 15.5% dan gula-gula lain untuk 12.8% daripada kes. Kelenturan dan keanjalan gula-gula bergetah boleh menjadikannya sangat berbahaya kerana ia boleh mengikut bentuk saluran pernafasan.
Menurut kajian demografi dalam bidang perubatan, kanak-kanak di bawah umur 3 tahun berisiko paling tinggi untuk tercekik disebabkan saluran udara yang lebih sempit, pertumbuhan gigi yang tidak matang dan kurang kebolehan mengunyah dan menelan. Kanak-kanak lelaki lebih kerap terkena berbanding kanak-kanak perempuan dan majoriti kejadian tercekik berlaku pada kanak-kanak berumur berumur kurang daripada 5 tahun .
Strategi pencegahan yang berkesan termasuk pendidikan ibu bapa tentang bahaya tercekik, penyediaan makanan yang betul (contoh memotong makanan kepada kepingan yang lebih kecil) dan pengawasan semasa makan. Pendidikan awam dan perubahan dasar, seperti penambahbaikan pelabelan dan reka bentuk makanan, juga penting dalam mengurangkan kemalangan tercekik.
Dr Mohd Rashidi Abdull Manap AMRSC, FSSM ialah ahli fakulti di Jabatan Kimia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Selain itu, beliau ialah Felo Penyelidik Pelawat di Universiti Lund, Sweden, berpangkalan di BMC - Biomedicinskt Centrum.
Tarikh Input: 27/02/2025 | Kemaskini: 11/03/2025 | m.hakim

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :