Kepekatan Nikotin: Dari 35 Mg/ml Kepada 20 Mg/ml | FAKULTI SAINS
» ARTIKEL » Kepekatan Nikotin: Dari 35 mg/ml kepada 20 mg/ml

Kepekatan Nikotin: Dari 35 mg/ml kepada 20 mg/ml

Kepekatan Nikotin: Dari 35 mg/ml kepada 20 mg/ml

Menteri Kesihatan telah mewartakan Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pembungkusan dan Pelabelan) 2024 [P.U. (A) 261], yang telah mula berkuatkuasa pada 1 Oktober 2024, menetapkan had kepekatan nikotin di dalam cecair vape kepada 35 mg bagi setiap ml (35 mg/ml). Ini adalah langkah awal kerajaan dalam usaha mengawal kepekatan nikotin. Namun,  dikhuatiri maklumat kandungan dan bahan bahan berbahaya tidak diketahui semua pihak lebih lebih lagi komuniti di Malaysia.

Setelah 12 bulan tempoh peralihan iaitu mulai 1 Oktober 2025, kepekatan nikotin akan dikurangkan lagi kepada 20 mg bagi setiap ml (20 mg/ml). Pengurangan sehingga 42 peratus dari jumlah kepekatan adalah selari dengan had kepekatan nikotin yang terpakai di negara-negara Kesatuan Eropah, United Kingdom dan Kanada sebagai langkah perlindungan pengguna.

 

FIR MID NIR spektrum larutan Nikotin yang bukan tulin dan ia di gunakan di dalam industri yang tidak terkawal ini

 

Pendaftaran dan Pemantauan Cecair Vape

Selain itu, semua cecair vape yang ingin dipasarkan di Malaysia wajib didaftarkan di Kementerian Kesihatan seperti yang termaktub di dalam Peraturan-peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pendaftaran Produk Tembakau,Bahan Merokok Dan Produk Pengganti Tembakau) 2024 [P.U. (A) 262]. Peraturan ini memastikan kawalan dan pemantauan yang lebih ketat terhadap produk-produk yang akan berada di pasaran Malaysia.

Selain Nikotin, peraturan tersebut mewajibkan pengeluar dan pengimport menyatakan kepekatan pelepasan Acetaldehyde, Acrolein, Formaldehyde, dan lain-lain aldehid yang terdapat dalam asap vape. Langkah tegas ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyenaraikan bahan bahan yang berkaitan dengan penggunaan nikotin dan bahan kimia lain dalam produk merokok. Jika dilihat dengan teliti, ia merangkumi bahan kimia sebelum dan selepas tindak balas kimia berlaku.

Namun ini masih kurang lengkap kerana:

  1. Pengeluar dan pengimport hanya perlu menyatakan kadar kepekatan bahan kimia tersebut. Tiada had kepekatan pelepasan Acetaldehyde, Acrolein, Formaldehyde, dan lain-lain aldehid yang terdapat dalam asap vape. Beberapa negara di dunia, termasuk Perancis dan Filipina, piawai (AFNOR)-XP D 90-300-2 menetapkan kepekatan maksima Acetaldehyde kepada 200 mg/ml, Acrolein 22 mg/ml, dan Formaldehyde 22 mg/ml di dalam cecair e-liquid.
  2. Jenis bahan untuk pembotolan. Botol plastik tidak boleh digunakan daripada jenis polyvinyl chloride (PVC), polystyrene (PS), polycarbonate (PC), acrylonitrile-butadiene-styrene (ABS), styrene-acrylonitrile (SAN), polyoxymethylene (POM).
  3. Selain itu, piawai AFNOR juga menetapkan ketulinan bahan-bahan yang digunakan di dalam cecair vape. Sebagai contoh, Nikotin atau CAS: 54-11-5 yang digunakan hendaklah mematuhi keperluan Eropah (Ph.Eur.) atau American (USP) Pharmacopoeia.
  4. Peraturan-peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pendaftaran Produk Tembakau, Bahan Merokok Dan Produk Pengganti Tembakau) 2024 [P.U. (A) 262] juga tidak untuk menetapkan senarai bahan-bahan yang terlarang di dalam cecair vape. Piawai AFNOR menyatakan antara bahan-bahan yang dilarang ialah bahan-bahan yang diklasifikasikan sebagai carcinogenicmutagenic atau reprotoxic (CMR 1 dan 2) dan bahan-bahan yang diklasifikasikan sebagai specific target organ toxicity for respiratory tracts (STOT category 1).
  5. Bagaimana pula e-liquid tanpa Nikoti? Sebagai contoh di Sweden, e-liquid yang tidak mengandungi Nikotin tidak termasuk dalam perundangan mengenai e-rokok. Walaubagaimanapun, ia tetap di kawal selia oleh beberapa peraturan bahan kimia yang lain. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini dalam isu ini, pengguna dinasihatkan merujuk kepada Warta Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa.

Dr Mohd Rashidi Abdull Manap AMRSC, FSSM ialah ahli fakulti di Jabatan Kimia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Selain itu, beliau ialah Felo Penyelidik Pelawat di Universiti Lund, Sweden, berpangkalan di BMC - Biomedicinskt Centrum ketika ini.

 

Tarikh Input: 13/03/2025 | Kemaskini: 19/03/2025 | norlida_mn

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
TIADA
S, (04:33:49am-04:38:49am, 09 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]