Dalam era perubatan moden, teknologi nuklear membawa perubahan besar dalam bidang rawatan dan pengesanan penyakit, terutama kanser yang menunjukkan peningkatan kes setiap tahun.
Menurut Pertubuhan Nuklear Sedunia, lebih 40 juta prosedur perubatan nuklear dijalankan setiap tahun di seluruh dunia menunjukkan pentingnya teknologi ini dalam bidang perubatan.
Dulu, rawatan dan pengesanan penyakit secara umumnya bergantung pada kaedah invasif berisiko tinggi bagi pesakit.
Namun kini, teknologi seperti tomografi pancaran positron//computed tomography (PET/CT) dan single photon emission computed tomography/computed tomography (SPECT/CT) dapat memberikan gambaran lebih terperinci mengenai sesuatu penyakit, terutamanya kanser dengan lebih selamat.
Pada awal abad ke-21, teknologi perubatan nuklear dan radiologi masih terhad kepada penggunaan kamera gama dan teknik imbasan secara berasingan seperti kamera gama, SPECT, PET, CT atau pengimejan resonans magnet (MRI).
Namun, dengan kemajuan dalam bidang fizik perubatan, teknologi ini berkembang ketara. Antara kejayaan terbesar ialah pengenalan Teknik pengimejan hybrid PET/CT oleh Prof Thomas Beyer menggabungkan PET dan CT dalam satu modality membolehkan doctor untuk membuat pengesanan dengan lebih tepat.
Kini, kombinasi PET dengan modaliti lain seperti SPECT, CT, dan MRI semakin berkembang. Sekali gus mendapat perhatian penyelidik, pihak pengeluar dan pengguna bagi tujuan pengesanan dan rawatan. Teknologi perubatan nuklear ini membolehkan doktor melihat ketumbuhan abnormal dan memantau sel kanser aktif secara metabolik dalam tubuh mungkin menunjukkan tanda awal perkembangan kanser.
Teknologi ini bukan sahaja penting untuk pengesanan awal kanser, bahkan pengurusan penyakit seperti Alzeimer, jantung, perancangan rawatan radioterapi dan memantau tindak balas selepas rawatan.
Namun penggunaannya bergantung kepada bahan radiofarmasi sedia ada seperti 18F-fluodeoxyglucose (FDG) perlu disuntik ke dalam badan pesakit. Antara factor menyumbang kepada keupayaan sesuatu PET/CT adalah teknologi pengesan sinaran digunakan.
Perkembangan dalam teknologi semikonduktor secara global mendorong perkembangan PET/CT daripada pengesan sinaran jenis analog kepada pengesan sinaran jenis digital lebih maju. Teknologi digital ini bukan sahaja dapat menghasilkan imej lebih jelas, bahkan dos radiasi boleh dikurangkan menjadikan prosedur lebih selamat.
Tambahan pula, kemajuan dalam teknologi time of flight (TOF) mampu mencerap maklumat penyebaran cahaya foton dengan lebih tepat, meningkatkan keupayaan PET/CT untuk mengesan sel kanser pada peringkat awal lebih berkesan.
Dari segi rawatan pula, teknik theranostics adalah teknik rawatan terkini dalam perubatan nuklear. Ia menggabungkan teknik diagnostik dan rawatan dengan berasaskan radionuklid memancar sinar gama atau positron bagi tujuan diagnostik dan sinar beta atau alfa bagi tujuan rawatan.
Selain doktor, teknik ini memerlukan ahli fizik perubatan mempunyai pengetahuan mendalam untuk melakukan pemetaan dos sinaran terserap pada kawasan sasaran dan kawasan berisiko. Ini penting untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan setiap prosedur membabitkan penggunaan bahan radiaktif dan peralatan sinaran mengion berdasarkan kaedah saintifik.
Mereka perlu mendapat pengiktirafan sebagai Ahli Fizik Perubatan sah tertakluk di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 776).
Sementara itu, kos bagi sesuatu prosedur perubatan nuklear adalah masih tinggi seiring perkembangan teknologi kerana membabitkan pembelian bahan radiofarmasi, kos pengoperasian kemudahan modality pengesanan dan siklotron. Kos ini mungkin dapat dikurangkan melalui pembangunan teknologi nuklear di dalam negara.
Rujukan
Tentang Penulis
|
|
|
Muhammad Khalis Abdul Karim (Prof Madya Dr.)Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra MalaysiaKepakaran: Fizik Perubatan, Pengimejan Perubatan, Fizik Sinaran dan RadiobiologiEmel: mkhalis@upm.edu.my |
|
|
|
|
|
|
|
Husain Murat (Ts.)
|
Tarikh Input: 25/11/2024 | Kemaskini: 25/11/2024 | harithdaniel

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :