Peranan Guru STEM Di Sebalik Pandemik | FAKULTI SAINS
» ARTIKEL » Peranan guru STEM di sebalik pandemik

Peranan guru STEM di sebalik pandemik

Oleh: Prof. ChM. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman

Meskipun sektor akademik ditutup semasa pandemik Covid-19, fungsi guru tuntas menerangi ilmu tanpa jemu kepada pelajar melalui pengajaran dalam talian. llmu tidak terhenti semasa pandemik, malah ditagih dan ditular oleh masyarakat untuk mengetahui dan mendalami pandemik Covid-19.

Teknologi maklumat sangat sinonim dengan Malaysia. Tuntuan kelas dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mampu dilaksanakan walaupun tidak menyeluruh.

Mungkinkah desakan ini akan mempelopori pendidikan akan datang? Jangan dilupakan kajian implikasi sosial, emosi dan kesihatan mata murid.

Namun, Malaysia masih tertumpu kepada teknologi adaptasi, bermaksud menggunakan teknologi lampau untuk masalah sendiri, yang cepat basi. Ilmu pengkomputeran untuk memahami alam dan habitatnya masih terlalu jauh untuk digapai. Sekolah boleh mula mengenalkannya, dan universiti perlu menerapkannya dalam kurikulum.

Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan kursus seperti Kimia Pengkomputeran, Fizik Pengkomputeran dan Matematik Pengkomputeran untuk mendasari penguasaan ilmu asas. Universiti perlu melibatkan kursus sebegini sebagai kursus teras dalam program sains tulen. Persiapan berada selangkah di hadapan perlu bermula lebih awal.

Dalam pada itu, Persatuan Guru STEM Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif untuk pembangunan aplikasi baharu dan kaedah pengajaran STEM (Sains Teknologi Kejuruteraan Matematik) untuk merangsang minat murid.

 

Buka ruang

Pandemik mampu membuka ruang terbuka untuk guru eksploitasikan dalam bentuk pembelajaran. Hakikatnya, bidang STEM tidak terbatas dan guru telah berlelah menyajikan ilmu bermanfaat. Ibubapa perlu memainkan watak lebih berat untuk mewarnai kejayaan.

Semasa menonton filem, berkebun mahupun memasak, terdapat sainsnya tersendiri. Kerajaan dan masyarakat industri perlu tekad bersepadu menyediakan skop besar kerjaya berteraskan STEM terutamanya selepas pandemik yang menyaksikan jutaan hilang pekerjaan.

Ilmu tidak terhenti semasa pandemik, malah ditagih oleh masyarakat bagi mendalami pandemik Covid-19. Kefahaman ini dapat dirungkai melalui asas sains fizikal iaitu kimia dan fizik. Pemenang-pemenang Hadiah Nobel menggunakan resepi asas ini untuk menyelesaikan permasalahan berkaitan hidupan (biologi).

Penemuan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) oleh Watson, Crick dan Wilkins telah membuka lembaran baru dalam teknologi perubatan dan pertanian, serta juga percetakan dan perfileman. Gambaran mutasi DNA seperti siri filem Marvel Studio dan X-Men, mahupun Cicakman berjaya menjadi tayangan pecah panggung. Mungkinkah ada sinar baru pekerjaan kreatif bagi lulusan sains selain terperuk di makmal?

Filem Avatar dan Rampage misalnya menggunakan penjujukan genom (kajian keseluruhan genetik) sebagai asas plot penceritaan. Pada tahun 2012, saintis Craig Venter dengan bantuan dua pemenang Hadiah Nobel, mencipta hidupan sintetik pertama dunia, Synthia, berdasarkan kombinasi asid amino.

 

Peranan matematik

Kita biasa dengar atau sendiri berkata, matematik tidak lebih daripada hanya untuk membeli barang di kedai. Berbeza di luar negara, mereka cenderung memilih ‘Mathematical Biology’ untuk mengira dan meramalkan fungsi dan sifat hidupan. Data genomik boleh ditukar kepada bentuk bioinformatik menggunakan perisian tertentu simulasi berkomputer. Sudah tentu algoritma baru perlu dibangunkan oleh ahli matematik. Kenyataan tersohor Feynman mengiktiraf matematik sebagai bahasa universal untuk memahami alam dan hidupan, dan adalah rugi kepada mereka yang tidak mengerti matematik sebenarnya.

Pelbagai genom bakteria dan virus penyebab wabak telah dijujuk. Maklumat Protein Data Bank menunjukkan struktur protein SAR-CoV-2 penyebab Covid-19 mempunyai beberapa mutasi asid amino daripada SAR-CoV-1 penyebab SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk). Koronavirus ini telah bermutasi kepada strain yang berbagai. Ini adalah normal apabila virus mula mengadaptasi dengan keadaan baru, seperti virus denggi. Namun adakah ia menjadi lebih bahaya atau tidak, masih perlu dikaji.

Kefahaman asas ikatan kimia dan struktur molekul diajar oleh guru kimia. Keunikan dan kecantikan struktur molekul yang dilukis menarik minat murid. Semuanya masih jelas diingatan saya. Terima kasih Cikgu Abdullah Hashim yang melukisnya dengan begitu teliti. Asas kukuh sebegini membolehkan murid berinovasi pelbagai molekul seperti ubatan dan polimer. Penemuan rawatan ubatan melalui kaedah berbantukan komputer menjadi nadi era baru perubatan. Ahli fizik membelau sinar-X terhadap hablur protein untuk mengetahui strukturnya.

Setiap protein mempunyai tapak aktif berbeza, jadi ahli kimia akan merekabentuk molekul ubat yang sesuai untuk merencat aktiviti atau membunuh virus. Ini menerangkan mengapa ubat dan vaksin yang dibangunkan untuk SARS tidak dapat diguna untuk COVID-19.

Dapatan awal saringan ubatan secara simulasi berkomputer dapat mengurangkan kos, masa dan risiko terdedah kepada virus. Hasil proses saringan ini akan dikaji secara terperinci dalam makmal, dan seterusnya ujian pra-klinikal serta klinikal tetapi mengambil tempoh masa lama.

Peluang bertemu dan berbual dengan lebih 30 pemenang Hadial Nobel memberi inspirasi terhadap bagaimana mereka kritis dengan sains fundamental. Paling jelas, kemahiran matematik dalam asas Kimia Fizik iaitu bidang Mekanik Kuantum. Filem Iron Man dan Back to the Future menonjolkan kehebatan perkiraan matematik dalam fizik melalui pelbagai persamaan.

Kontrasnya, kursus ini paling tidak digemari oleh pelajar kerana indoktrinasi matemaik sukar, luahan acapkali didengari selepas peperiksaan umum. Isyarat sebegini yang harus didengari oleh kerajaan jika inginkan penemuan asas baharu yang mampu mencipta teknologi luar biasa.

Kerjaya dan kejayaan masyarakat sangat sinonim dengan kewibaan guru membentuk perspektif berbeza seperti kepelbagaian bentuk geometri. Semua ukuran sisi dan pandangan diperhalusi dengan kiraan tepat yang membawa berkat.

Terima kasih semua Cikgu yang ‘membawa’ masyarakat dan sains ke pelosok dunia malah juga menyekat pandemik. Selamat Hari Guru.

 

(Sumber daripada laman web BERNAMA )

 

Profesor Chm Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman merupakan Dekan Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga Penaung Persatuan Guru STEM Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

Tarikh Input: 23/05/2020 | Kemaskini: 10/07/2020 | nashrin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
B1606668301