Oleh: Dr. Mohd Rashidi Abdull Manap AMRSC, FSSM
Kajang, 13 Disember 2024 – Program Kimia Lestari @KUSeS yang dianjurkan sempena Scitech4u-STEM Camp MOSTI 2024 telah berlangsung dengan penuh semangat dan melibatkan pelbagai aktiviti menarik. Bertempat di SMK Kajang Utama, program ini berjaya mengumpulkan 100 orang pelajar menengah rendah dalam usaha memupuk minat terhadap bidang Kimia dan Teknologi serta menyemai kesedaran kelestarian alam sekitar.
Program ini telah dirasmikan oleh Tuan Salim bin Zainudin@Jantan, Pengetua SMK Kajang Utama. Program ini bermula seawal 8.30 pagi dengan pendaftaran peserta dan aktiviti senamrobik "Senam Sihat". Seterusnya, sesi ceramah bertajuk "Motivational Talk on Waste Materials (MToM)" oleh Generasi Peduli Sampah Malaysia (GPSM) telah membuka minda peserta tentang pentingnya kebersihan alam sekitar di luar dan dalam sekolah. Pelbagai contoh pencemaran plastik di darat dan sungai telah di terangkan oleh pihak GPSM.
Antara aktiviti utama yang mencuri tumpuan ialah EcoBrick, yang telah mencabar kreativiti pelajar dalam menghasilkan produk kitar semula menggunakan botol plastik. Aktiviti ini dijalankan sepanjang sesi pagi dan mendapat sambutan hangat daripada para peserta. Manakala Cabaran Recover Microplastic telah di laksanakan oleh pensyarah kanan Jabatan Kimia UPM selaku Ketua Projek Program Kimia Lestari@KUSeS, Dr. Mohd Rashidi bin Abdul Manap. Pelajar telah didedahkan proses degradasi plastik menjadi mikroplastik . Selain itu, pelajar telah menentukan bilangan mikroplastik berdasarkan nilai kepekatan mikroplastik di kawasan pantai.
Pada sebelah petang, pelbagai pameran inovatif turut diadakan, termasuk Pameran Sains Forensik dan Pameran Glass2pasir, yang memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami bidang sains secara praktikal. Pameran Forensik juga telah di laksanakan oleh Ahli Kimia dari Bahagaian Narkotik dan Bahagian Toksikologi. Pameran Forensik ini dapat memberi pendedahan dan peluang kepada para pelajar tentang peranan dan analisis yang dijalankan oleh Pusat Forensik Kimia Malaysia di samping memupuk minat mereka terhadap sains dan teknologi.
Manakala, Pameran Glass2pasir telah memberi peluang menghubungkan kimia dan sastera dengan menghasilkan produk dari botol botol kaca yang terpakai di hancurkan semula menjadi pasir. Program Explorasi Sains melalui DNA oleh MARDI telah memberikan peserta peluang untuk mendalami asas penyelidikan biologi sambil mempelajari teknik saintifik pengekstrakan DNA menggunakan bahan-bahan mudah yang boleh didapati di rumah. Aktiviti ini bukan sahaja menarik, malah turut mencetuskan rasa teruja apabila peserta berjaya menjalankan eksperimen sendiri dan menghasilkan DNA, sesuatu yang sebelum ini hanya mereka bayangkan melalui pembelajaran teori.
Program ini telah mendapatkan maklum balas peserta bagi menjamin keberkesanan dan impak kepada peserta. Menurut salah seorang Pelajar Tingkatan 3 Data, Aliesha Minhalyna binti Adzryl, Program Kimia Lestari yang telah dianjurkan di SMK Kajang Utama tadi telah memberikan pengalaman yang luar biasa kepadanya. Pelbagai aktiviti kreatif seperti menghasilkan Ecobrick bersama Datin Norelan Ismail (Oma), yang bukan sahaja menyeronokkan malahan juga berjaya mengeratkan silaturahim antara peserta. Selain itu, aktiviti 'doodling' telah menjadi pengisian santai selepas menyiapkan Ecobrick. Yang lebih menarik, peserta turut menjalankan eksperimen membuat DNA daripada buah strawberi, yang memberikan pengalaman pembelajaran yang agak unik. Majlis penutup turut dihadiri oleh Ts. Dr. Noraisah Spahat, Setiausa Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Sains Teknologi & Inovasi (MOSTI) dan program tamat pada jam 6.20 petang.
Program Kimia Lestari @KUSeS berjaya mencapai objektifnya dalam mendidik generasi muda mengenai kepentingan kimia dan kelestarian alam. Ia merupakan salah satu inisiatif MOSTI dalam menyokong perkembangan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) di peringkat sekolah. Kemapanan dan Daya Cipta telah di pamerkan oleh para peserta program ini. Secara keseluruhan, program ini telah memenuhi aspirasi Konsep Madani dengan mendidik dan menginspirasikan generasi muda untuk menjadi pemimpin masa depan yang peka terhadap kelestarian alam dan juga memiliki keupayaan mencipta penyelesaian secara inovatif.
Disediakan oleh:
Dr. Mohd Rashidi Abdull Manap AMRSC, FSSM
Jabatan Kimia
Fakulti Sains
Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor MALAYSIA
Tarikh Input: 21/12/2024 | Kemaskini: 21/12/2024 | adib.yusof

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :