Global Women Breakfast @UPM 2026: Many Voices, One Science
Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Global Women Breakfast @UPM pada 10 Februari 2026, sebagai sebahagian daripada inisiatif Global Women Breakfast (GWB) yang diraikan secara serentak di seluruh dunia. Program ini berperanan sebagai platform tahunan untuk memperkukuh jaringan, memupuk kolaborasi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Tema Global Women Breakfast tahun ini, “Many Voices, One Science”, menekankan kepentingan kepelbagaian suara, perspektif dan pengalaman dalam memperkayakan landskap sains. Pendekatan yang inklusif ini dilihat mampu memperkukuh kerjasama rentas disiplin dan institusi, sekali gus menyumbang kepada kemajuan sains yang lebih mampan dan berimpak.
Bagi penganjuran kali ini, satu webinar khas telah dianjurkan dengan kerjasama Institut Kimia Malaysia, menampilkan tiga orang panel jemputan daripada institusi tempatan. Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada penghayatan tema Many Voices, One Science dalam konteks pembangunan kerjaya, kepimpinan wanita, serta cabaran dan peluang dalam ekosistem sains semasa.
Di peringkat Jabatan Kimia UPM, program ini telah dipengerusikan bersama oleh PM Dr. Siti Munirah dan PM Dr. Sazlinda, dengan sokongan padu daripada beberapa orang Ahli Jawatankuasa (AJK) yang terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan program. Komitmen dan kerjasama erat pasukan penganjur telah memastikan kelancaran program dari peringkat persediaan sehingga ke pelaksanaan.
Program ini turut dianjurkan dengan kerjasama American Chemical Society Malaysia Chapter dan ditaja Institut Kimia Malaysia dan Kelab Warga Kimia, Fakulti Sains. Penganjuran ini telah dihadiri oleh warga Jabatan Kimia yang terdiri daripada para pensyarah serta staf sokongan, mencerminkan sokongan menyeluruh jabatan terhadap inisiatif pembangunan komuniti saintifik yang inklusif.
Sebelum sesi webinar bermula, satu aktiviti erat silaturahim telah diadakan melalui aktiviti permainan ringkas (simple games for bonding) bagi mengukuhkan hubungan kerja dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga jabatan. Aktiviti ini menjadi pembuka acara yang santai sebelum diteruskan dengan sesi ilmiah Global Women Breakfast.
Secara keseluruhannya, penganjuran Global Women Breakfast @UPM ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif perkongsian ilmu dan perbincangan ilmiah, malah turut memperkukuh jaringan profesional serta hubungan kekeluargaan dalam komuniti Jabatan Kimia. Program ini diharap dapat diteruskan sebagai platform berimpak dalam menyatukan pelbagai suara ke arah pemerkasaan sains yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Ditulis oleh: Sazlinda Kamaruzaman, Jabatan Kimia UPM
![]() |
![]() |
|
Sesi aktiviti permainan ringkas (simple games for bonding) |
|
|
|
![]() |
|
Sesi Webinar Institut Kimia Malaysia (Tema: Many Voices, One Science)
|
|
Tarikh Input: 03/03/2026 | Kemaskini: 03/03/2026 | ahmadzaidi

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :