Hari Penerangan Jabatan Biologi Sesi 2025/2026: “Biology is Life, Biology is Family” Kukuhkan Jalinan Antara Mahasiswa dan Warga Biologi
Serdang, 8 Oktober 2025 – Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Hari Penerangan Jabatan Biologi bagi sesi 2025/2026 bertempat di Dewan Kuliah Biologi (DKB), Fakulti Sains, UPM. Program ini bertujuan menyambut kedatangan pelajar baharu BIOGEN25/29 serta memberi pendedahan awal mengenai struktur akademik, sistem penasihatan, dan aktiviti pelajar di jabatan.
Majlis dimulakan pada jam 2.00 petang dengan kehadiran pelajar baharu BIOGEN25/29 diikuti para pensyarah dan staf Jabatan Biologi. Lagu Negaraku dan Putra Gemilang dinyanyikan dengan penuh semangat, diikuti bacaan doa oleh En. Azizul Aziz yang menzahirkan rasa kesyukuran atas kelancaran majlis tersebut.
Dalam ucapan alu-aluan, Prof. Madya Dr. Nor Azwady Abd. Aziz, Dekan Fakulti Sains, menyatakan bahawa jabatan berperanan penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berakhlak dan berdaya saing. Beliau menekankan nilai integriti, disiplin dan semangat kekeluargaan sebagai teras kecemerlangan akademik dan peribadi warga Biologi.
Sesi diteruskan dengan ucapan daripada Prof. Madya Dr. Nur Ain Izzati Mohd Zainudin, Ketua Jabatan Biologi, yang memperkenalkan barisan pensyarah serta struktur organisasi jabatan. Beliau turut menyeru pelajar baharu untuk aktif dalam aktiviti akademik dan kokurikulum bagi mengasah potensi diri serta memupuk semangat kolaboratif dalam komuniti Biologi.
Seterusnya, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Ketua Penasihat Akademik Jabatan Biologi, menyampaikan Taklimat Akademik yang memberi penerangan terperinci tentang sistem penasihatan akademik, struktur kursus, dan laluan kerjaya program Biologi. Beliau turut menekankan peranan penting penasihat akademik (PA) dalam membimbing pelajar sepanjang pengajian.
Program diteruskan dengan Taklimat Hari Gerak Ilmu BIOGEN25/29 oleh Dr. Meenakshi Nallappan, Penyelaras Gerak Ilmu Jabatan Biologi, yang menerangkan aktiviti akademik dan pembangunan diri yang dirancang sepanjang sesi pengajian.
Pelajar turut berpeluang mengenali lebih dekat Kelab Mahasiswa Biologi (KMB) melalui sesi bersama Presiden KMB yang memperkenalkan struktur organisasi, aktiviti tahunan, dan peluang kepimpinan yang tersedia kepada pelajar untuk mengembangkan potensi diri dan semangat berpasukan.
Selesai sesi taklimat, majlis diteruskan dengan sesi fotografi rasmi bersama warga Jabatan Biologi, diikuti pertemuan khas antara penasihat akademik dan mentee daripada kumpulan BIOGEN25/29. Sesi ini memberi ruang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan PA masing-masing bagi mengenali struktur kursus serta peluang penyelidikan dan bimbingan akademik yang tersedia.
Secara keseluruhannya, Hari Penerangan Jabatan Biologi Sesi 2025/2026 berlangsung dengan jayanya dan mencapai matlamatnya sebagai platform memperkenalkan jabatan kepada pelajar baharu. Program ini turut berjaya mengukuhkan semangat kekeluargaan dan jalinan hubungan antara pelajar, staf akademik, dan alumni Jabatan Biologi UPM, selaras dengan tema tahun ini — “Biology is Life, Biology is Family.”



Tarikh Input: 03/11/2025 | Kemaskini: 03/11/2025 | m.hakim

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :