Karnival Jubli Emas Fakulti Sains Tarik Minat Pelajar Terhadap STEM | FAKULTI SAINS science
» BERITA » Karnival Jubli Emas Fakulti Sains Tarik Minat Pelajar Terhadap STEM

Karnival Jubli Emas Fakulti Sains Tarik Minat Pelajar Terhadap STEM

Serdang, 20 Mei 2025 – Sempena sambutan 50 tahun penubuhan, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Karnival Jubli Emas @Fakulti Sains yang berlangsung meriah di perkarangan fakulti tersebut hari ini. Lebih 300 pelajar dari dalam dan luar kampus telah menyertai acara ini yang bertujuan menyemarakkan minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Karnival ini menampilkan pelbagai pameran interaktif dan inovatif daripada semua jabatan di bawah Fakulti Sains. Antara tarikan utama ialah pameran anjuran Jabatan Biologi seperti Frozen in Time: Zoollery, Animal Inside Out: Animal Physiological DIY Systems, dan At the Edge of Sight: Microscopic Worlds. Jabatan Fizik pula menarik perhatian melalui aktiviti seperti Junior Crime Scene Investigator, Magic in Physics, serta Artificial Intelligence in Life.

Jabatan Kimia turut mencuri tumpuan dengan pameran bertajuk Symmetry and Common Solid Structure in Life serta demonstrasi Fascinating Fruits Battery. Sementara itu, Jabatan Matematik dan Statistik tampil dengan pendekatan unik menerusi pameran Mathematics & Art Fusion.

Kemeriahan karnival turut diserikan dengan penyertaan dua agensi luar, iaitu Standard Chartered dan Pfizer, yang membuka booth pameran bertemakan kesedaran sains dalam kehidupan moden. Turut serta ialah gerai makanan dan produk kesihatan oleh BMS Organics.

Lebih 200 pelajar sekolah menengah dari SMK Putrajaya Presint 9, SMK Sri Indah, SMK Sri Serdang, SMK Dengkil dan MRSM Kuala Kubu Bharu hadir memeriahkan acara, disertai oleh 100 pelajar UPM.

Menurut pihak penganjur, karnival ini bukan sahaja dianjurkan bagi meraikan ulang tahun emas fakulti, tetapi juga sebagai platform untuk memperkukuh kesedaran dan minat pelajar terhadap bidang STEM menerusi pendekatan yang menyeronokkan dan praktikal.

Maklum balas positif daripada peserta dan guru pengiring menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan. Rata-rata menyifatkan penganjuran karnival ini sebagai satu inisiatif yang bermanfaat dan berharap ia dapat dijadikan acara tahunan pada masa akan datang.

Kejayaan penganjuran karnival ini sekali lagi membuktikan komitmen Fakulti Sains UPM dalam usaha memasyarakatkan sains serta memperkasakan pendidikan STEM di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 03/06/2025 | Kemaskini: 03/06/2025 | norlida_mn

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
TIADA
X, (10:09:19am-10:14:19am, 08 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]