Majlis Penutupan Program Sempena International Day Of Mathematics 2024 (IDM 2024) | FAKULTI SAINS
» BERITA » Majlis Penutupan Program Sempena International Day of Mathematics 2024 (IDM 2024)

Majlis Penutupan Program Sempena International Day of Mathematics 2024 (IDM 2024)

Serdang, 16 April - Majlis Penutupan Program sempena International Day of Mathematics 2024 (IDM 2024) telah diadakan pada 14 Mac 2024 di Bilik Seminar Alkhawarizmi, Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis Penutupan disempurnakan oleh Timbalan Dekan Pembangunan dan Jaringan Fakulti Sains, Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Muskhazli Mustafa dengan kehadiran tetamu jemputan yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan di Fakulti Sains dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Fakulti Sains.

 

 

Pengerusi Program International Day of Mathematics 2024 (IDM 2024) UPM, Prof. Dr. Lee Lai Soon, menzahirkan kesyukuran dan penghargaan atas kerjasama yang erat dan perancangan yang mantap oleh Jawatankuasa Penganjur bagi semua aktiviti yang telah berlangsung selama 6 bulan bermula September 2023 hingga Mac 2024. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk merangsang dan mendorong kreativiti di kalangan pelajar, pensyarah dan orang awam dalam memberikan kesedaran tentang keterterapan Matematik kepada bidang, konsep dan idea lain. Untuk tahun ini, tema IDM adalah ‘Playing with Math’, justeru pihak penganjur meraikan permainan, teka-teki dan aktiviti bermatematik lain yang menghiburkan, juga ‘bermain’ dengan matematik itu sendiri melalui penerokaan, ujikaji, dan akhirnya membawa kepada penemuan.

Aktiviti pertama yang dinamakan Math Treasure Hunt @Science UPM telah berjalan dengan lancar pada 20 Disember 2023 di sekitar Fakulti Sains, UPM. Seramai 54 peserta dari kalangan pelajar sekolah rendah dari lebih 20 buah sekolah telah menyertai aktiviti ini di mana mereka menyelesaikan pelbagai masalah matematik secara berkumpulan sebagai petunjuk untuk mencari harta tersembunyi. Manakala pada 26 Januari 2024, satu aktiviti yang diberikan nama sebagai ‘Playing with Math’ Bersama Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Kuala Lumpur telah diadakan di sekolah tersebut. Aktiviti ini telah disertai oleh 36 orang pelajar sekolah rendah dan mereka telah dilibatkan dengan pelbagai permainan bermatematik seperti Kelarai Jadual Berlipat dan Kad Tertingkap Timbul, dan juga Tari Menari Math.

Selain itu, bengkel robotik dan pertandingan M-Bot Challenge telah dianjurkan dan dibuka penyertaannya dari 21 September 2023 kepada pelajar sekolah menengah sekitar Lembah Klang. Aktiviti ini adalah bertujuan untuk memupuk kemahiran menyelesaikan masalah menggunakan M-Bot – sebuah robot pendidikan STEM, yang berupaya menjadikan pengajaran dan pembelajaran pengaturcaraan robot mudah dan menyeronokkan. Kejayaan pasukan dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kwang Hua, Selangor, dalam memenangi pertandingan ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan mereka dalam rangka persiapan menghadapi pertandingan di peringkat yang lebih tinggi.

 

 

Dan program seperti ini tidak lengkap jika tidak melibatkan mahasiswa dari universiti tempatan. Aktiviti tersebut yang diberi nama Math Invention, Innovation and Design Competition telah dibuka penyertaannya dari 21 September 2023 dan telah menerima 12 penyertaan di mana 2 kumpulan adalah dari USIM, 1 kumpulan dari UKM dan 9 kumpulan dari UPM. Kategori penyertaan yang didaftarkan ialah 9 penyertaan bagi kategori Math Board Game dan 3 penyertaan bagi kategori Math Digital App di mana peserta perlu menghantar video dan kertas konsep secara dalam talian. 5 kumpulan terbaik yang telah dipilih juri telah hadir pada sesi live pitching yang juga diadakan pada 14 Mac 2024, bagi membentangkan hasil prototaip mereka dan diadili secara bersemuka oleh juri yang dilantik dari dalam dan luar UPM. Pasukan dari Kolej Genius Insan, USIM telah berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan ini bagi projek bertajuk ‘A Strategic Approach: Gamifying Additional Mathematics Learning with Scratch’.

 

 

Sekalung penghargaan juga diberikan kepada persatuan, syarikat dan individu bagi penajaan dan sumbangan tunai dan in-kind yang semestinya menjadi simbol tanda keprihatinan mereka terhadap program sebegini. Antara persatuan dan syarikat tersebut ialah Management Science/Operations Research Society of Malaysia (MSORSM), Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA), Institut Statistik Malaysia (ISMy), Akademi Ilmuwan Sains Matematik Malaysia (AISMM), Malaysian Society for Cryptology Research (MSCR), Infinity Food Supply Sdn. Bhd. (Farm Fresh), Edaran Komachi dan HeeLee Enterprise (M) Sdn. Bhd. (Unicorn Stationery).

Selaku Jawatankuasa Penganjur, besar harapan mereka agar minat terhadap Matematik dapat terus dipupuk dan ilmu Matematik dapat terus disampaikan kepada generasi akan datang dalam pelbagai alternatif. Sesungguhnya para pendidik memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk pemahaman dan penghargaan terhadap Matematik di kalangan pelajar mahupun orang awam.

 

Tarikh Input: 17/04/2024 | Kemaskini: 17/04/2024 | norlida_mn

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXFVVA1~