SERDANG, 20 DISEMBER 2024 - Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kelab Mahasiswa Fizik (KMF) telah mengadakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Mahasiswa Jabatan Fizik (MAKeF) 2024 bertempat di Dewan Kuliah Sains, Fakulti Sains. Tujuan utama majlis ini berlangsung adalah bagi meraikan dan memberi penghargaan kepada para pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik serta kokurikulum di samping meningkatkan semangat dan mendorong para pelajar lain di Jabatan Fizik untuk lebih giat berusaha ke arah kecemerlangan.
Ucapan daripada Ketua Jabatan Fizik, Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Awang Kechik
Sebanyak enam belas anugerah telah dipertandingkan pada MAKeF 2024, antaranya ialah Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Quantum Leap, Anugerah Khas Ketua Jabatan, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal Siswazah, Anugerah Sains & Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS), Anugerah Inspirasi Akademik Abdul Halim Shaari, Anugerah Bitara Instrumentasi, Anugerah Bitara Jirim, Anugerah Bitara Kuantum, Anugerah Keusahawanan Dr. Gadget UPM, Anugerah Aspirasi Kepimpinan, Anugerah Aspirasi Kokurikulum, Anugerah Aspirasi STEM, Anugerah Akademik Unggul Zainal Abidin Talib, Anugerah Adisiswa Fizik dan Anugerah Ikon Terbilang Sidek Ab Aziz. Ini menjadikan keseluruhan penerima anugerah adalah seramai 103 orang pada MAKeF tahun ini. Pada tahun ini juga Jabatan Fizik telah memperkenalkan dua lagi anugerah baharu yang bakal dipertandingkan bermula pada MAKeF 2025, iaitu Anugerah Bitara Optik dan Anugerah Bitara Sinaran. Anugerah ini akan diberikan kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang fizik optik dan fizik sinaran.
Ucapan daripada Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Siti Hasana Sapar
Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Siti Hasana Sapar berbesar hati untuk turut hadir bagi memeriahkan MAKeF pada kali ini. Beliau merakamkan penghargaan kepada warga Jabatan Fizik atas usaha dalam menganjurkan majlis yang berprestij ini dan menegaskan bahawa ia merupakan satu bentuk penghormatan kepada mahasiswa Jabatan Fizik yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang.Seterusnya, Ketua Jabatan Fizik, Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Awang Kechik pula dalam ucapannya, menyatakan bahawa pihak jabatan merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua penerima anugerah atas kejayaan dan pencapaian luar biasa mereka. Di akhir ucapan, beliau turut berharap agar kejayaan yang dikecapi ini mampu menjadi sumber inspirasi kepada semua pelajar untuk terus berusaha gigih dan memberi sumbangan terbaik kepada perkembangan ilmu pengetahuan.
Para pemenang bersama-sama dengan para penaja MAKeF 2024
Para penaja MAKeF 2024, turut bersama-sama hadir ke majlis untuk meraikan penerima anugerah serta memberi sokongan kepada warga Jabatan Fizik. Mereka memainkan peranan utama dalam dalam memastikan kejayaan penganjuran majlis ini dengan memberikan pelbagai bentuk insentif. Kebanyakan penaja juga merupakan mantan pensyarah Jabatan Fizik, manakala penaja utama adalah alumni Jabatan Fizik UPM yang kini mengusahakan syarikat Dr. Gadget UPM. Para penaja bukan sahaja memberikan sokongan penajaan tetapi juga mengukuhkan hubungan antara alumni, fakulti, dan pelajar semasa.
Pengarah MAKeF 2024, Suhaili binti Md Zahar, pelajar tahun tiga Bacelor Sains Fizik dengan Pendidikan (Kepujian) menyampaikan ucapan bahawa kejayaan yang diraikan bukanlah hasil daripada usaha individu semata-mata, tetapi juga berkat doa, dorongan dan sokongan yang luar biasa daripada pelbagai pihak. Turut menjayakan majlis adalah barisan penasihat yang diketuai oleh Dr. Muhammad Khairul Adib Bin Muhammad Yusof.
Penyampaian Anugerah Ikon Terbilang Sidek Ab Aziz kepada Ahmad Danish Iskandar Bin Mohd Fadzil, yang turut memenangi dua lagi anugerah berprestij pada MAKeF 2024
Anugerah berprestij yang menjadi tumpuan utama adalah Anugerah Ikon Terbilang Sidek Ab Aziz di mana ia merupakan anugerah paling unggul yang dipertandingkan dalam MAKeF. Anugerah ini telah berjaya dirangkul oleh pelajar tahun tiga Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian iaitu Ahmad Danish Iskandar Bin Mohd Fadzil. Pemenang Anugerah Putra Ikon UPM 2024 itu menyifatkan kejayaannya menerima anugerah tersebut pada MAKeF 2024 sebagai sesuatu yang tidak diduga, selepas turut memenanginya pada MAKeF 2023. Lebih membanggakan, Ahmad Danish Iskandar turut meraih anugerah lain seperti Anugerah Aspirasi STEM dan Anugerah Adisiswa Fizik kategori muda. Pengalaman dan nasihat dalam mencapai kejayaan akademik seiring dengan kokurikulum telah dikongsikan oleh beliau. Di samping itu, beliau turut menerima hadiah penginapan di Denai Desa selama 3 hari 2 malam tajaan Dr Hj. Sidek Hj. Ab Aziz, penaja bersama MAKeF 2024.
Disediakan oleh: Fatnin Ishami Othman dan Alia Batriesya Zayanun
Tarikh Input: 03/01/2025 | Kemaskini: 03/01/2025 | harithdaniel

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :