Oleh: Muhammad ‘Aqil Syahiran Izham dan Dr. Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof
Kuala Lumpur, 18 November 2024 – Pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan juara APGCE GeoHackathon 2024 yang berlangsung pada 16 hingga 18 November 2024 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pertandingan tersebut menguji kemahiran pengaturcaraan dan kreativiti peserta dalam menyelesaikan masalah dalam bidang geosains. Ia merupakan sebahagian daripada Asia Pacific Geoscience Conference and Exhibition (APGCE) 2024, sebuah persidangan yang menghimpunkan pakar dan syarikat terkemuka dalam industri carigali dan geosains.
Inovasi yang dibentangkan pasukan tersebut berjaya memikat panel hakim melalui model kecerdasan buatan (AI) berasaskan U-Net yang direka untuk mengesan garis sesar pada data seismik. Model tersebut menawarkan kaedah lebih pantas dan konsisten berbanding teknik manual dengan potensi besar dalam industri geosains.

Walaupun diberi masa yang suntuk iaitu kurang daripada 48 jam, mereka berjaya mengatasi pelbagai cabaran termasuk isu kualiti data tidak seragam, kekurangan data berlabel, dan ketidakseimbangan data. Melalui pendekatan seperti tokokan data dan normalisasi, mereka menghasilkan dataset yang sesuai untuk melatih model.

Ketua pasukan, Dr. Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof, pensyarah kanan Jabatan Fizik, Fakulti Sains UPM, menyatakan kejayaan ini membuktikan kemampuan teknologi AI dan bakat muda Malaysia dalam menghasilkan inovasi bertaraf dunia. Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada JX Nippon Oil & Gas Exploration atas bimbingan kepakaran sepanjang persediaan pasukan sebelum pertandingan.
Pasukan juga dianggotai oleh dua orang pelajar doktor falsafah (PhD) Fakulti Sains UPM iaitu saudara Muhammad ‘Aqil Syahiran Izham dan Nur Syaiful Afrizal, serta dua orang pelajar PhD dari Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu saudara Muhammad Kasyful Qaedi Maad Tazri (yang juga jurutera data JX Nippon Oil & Gas Exploration) dan saudari Nur Fatin Irdina Zulhamidi.

Pasukan ini merancang untuk memperbaiki model tersebut melalui penambahan dataset berlabel serta menguji aplikasinya pada struktur geologi berbeza. Kejayaan ini menyerlahkan potensi penyelidik dari UPM dalam gelanggang industri geofizik setanding dengan syarikat-syarikat petroleum gergasi di Malaysia.

Tarikh Input: 28/11/2024 | Kemaskini: 02/12/2024 | adib.yusof

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :