Pelajar UPM Sertai Program Mobiliti Ke University Of Western Australia | FAKULTI SAINS
» BERITA » Pelajar UPM sertai program mobiliti ke University of Western Australia

Pelajar UPM sertai program mobiliti ke University of Western Australia

 

 

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir

 

PERTH - Seramai 10 pelajar Jabatan Biologi, Fakulti Sains (FS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai program mobiliti ‘Scientist Log: Perth, Journey Across Ocean to University of Western Australia (UWA), Australia’ yang dianjurkan oleh Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), UPM baru-baru ini.

Penasihat program, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata beliau berharap lawatan itu memberi pengetahuan baharu dalam bidang biologi kepada pelajar Biologi kerana UWA merupakan universiti bertaraf dunia yang berada di kedudukan pertama di Australia.

“Saya berharap dengan pendedahan yang lebih meluas lagi mengenai bidang Biologi ini dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus mengkaji dan mendalami ilmu biologi di universiti,” katanya.

Beliau berkata, UWA turut berada di kedudukan 50 dunia terbaik di seluruh dunia bagi jurusan Sains Biologi, Sains Alam Sekitar dan Kejuruteraan, Kejuruteraan Marin/Ocean dan Sains Pertanian oleh Peringkat Akademik Shanghai Universiti-universiti Dunia 2019.

Program yang berlangsung selama 14 hari dari 26 Julai sehingga 9 Ogos 2019 itu telah menjadikan UWA sebagai tempat lawatan dan pelaksanaan program penukaran idea serta budaya daripada segi akademik antara dua universiti berlianan negara.

Program mobiliti itu turut mendapat tajaan daripada Putra International Centre (i-Putra), Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM dan orang perseorangan.

Lawatan ke UWA juga disertai Malaysian Postgraduate Students’ Association-Western Australia (MyPSA-WA) sebuah persatuan yang ditubuhkan di UWA di kalangan pelajar pasca-siswazah bagi menjaga kebajikan, memastikan kecemerlangan akademik serta memupuk semangat kekeluargaan di kalangan ahli persatuan.

Ahli persatuan itu terdiri daripada pelajar Malaysia yang menuntut di universiti di sekitar Australia Barat.

Program itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka dan memahami sistem ekosistem yang unik di Australia, bersesuaian dengan geografi negara Australia yang dipenuhi dengan flora dan fauna yang tidak terdapat di Malaysia.

Pengarah program, Ikhmal Syukqin Ismail berkata melalui program itu beliau dapat melihat serta mempraktikkan budaya kebersihan yang diamalkan oleh warga Australia.

“Saya berharap lawatan ini dapat membuka mata pelajar untuk mengaplikasikan budaya kelestarian alam sekitar dalam kehidupan di universiti dan memperkukuhkan lagi kemahiran insaniah pelajar,” katanya.

Kemahiran insaniah yang dipupuk melalui aktiviti itu antaranya ialah kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan mengasah kemahiran pelajar mengadaptasikan diri dengan cabaran serta persekitaran yang baharu.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah pengalaman interaktif dengan menggunakan aplikasi realiti tambahan dan realiti maya, ceramah pemuliharaan, ujian mendalam dalam kajian gelombang otak dan lawatan di sekitar Kemudahan Pertumbuhan Tanaman UWA yang menempatkan 19 rumah hijau, lapan fitotrons, 29 bilik pertumbuhan tumbuhan dan lapan kabinet pertumbuhan tanaman yang juga menawarkan pelbagai jenis projek penyelidikan. - UPM

 

Tarikh Input: 10/10/2019 | Kemaskini: 10/10/2019 | nashrin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
W1VMFGhe:06:33