Pertandingan ini telah dianjurkan kali kedua yang bertujuan membentuk generasi muda yang berkemampuan memelihara dan menjaga alam sekitar dengan baik. Program ini diketuai oleh Prof. Madya ChM. Dr. Norizah Abdul Rahman bersama beberapa pensyarah Jabatan Kimia, UPM dan pelajar dari Kelab Mahasiswa Kimia (KMK), UPM.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan pengurangan, penggunaan semula, dan kitar semula (3R), terutama dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Pepatah Melayu mengatakan, "melentur buluh biarlah dari rebungnya," yang menggambarkan kepentingan mendidik generasi muda sejak awal. Program ini juga bertujuan memberikan pendedahan awal kepada generasi muda, yang merupakan bakal tunjang pembangunan negara, mengenai kepentingan memelihara dan memulihara keindahan alam sekitar. Usaha ini penting bagi menjamin keseimbangan ekosistem yang stabil serta melestarikan kemajuan dan pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi.
Seramai lebih daripada 600 peserta dari seluruh negara telah mendaftar untuk menyertai pertandingan ini. Pelajar dari Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor muncul sebagai juara pertandingan, diikuti oleh pelajar dari SMK Kampung Dangar yang menduduki tempat kedua, dan pelajar dari SMK Paloh, Gua Musang di tempat ketiga. Hadiah saguhati pula diperoleh oleh pelajar dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan SMK Datuk Peter Mojuntin.
Para pemenang telah menerima hadiah berbentuk wang tunai, dan sijil penghargaan yang daripada MOSTI dan UPM. Menurut Prof. Madya ChM. Dr. Norizah Abdul Rahman, “Kami sangat berbangga dengan pencapaian para peserta yang menunjukkan kreativiti dan inovasi dalam mencari solusi untuk masalah alam sekitar. Diharapkan pertandingan ini dapat menjadi platform untuk membentuk pemimpin masa depan yang prihatin terhadap kelestarian alam.”
Tarikh Input: 10/07/2024 | Kemaskini: 19/07/2024 | ahmadzaidi

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :