Physics Fusion Day Ke-11 2025 Meriah Dengan Semangat Kesukanan Dan Kebersamaan | FAKULTI SAINS
» BERITA » Physics Fusion Day ke-11 2025 meriah dengan semangat kesukanan dan kebersamaan

Physics Fusion Day ke-11 2025 meriah dengan semangat kesukanan dan kebersamaan

SERDANG, 18 Mei - Kelab Mahasiswa Fizik, Jabatan Fizik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program Physics Fusion Day Ke-11 (PFD XI) yang membawa konsep gabungan antara pelajar daripada empat program utama di bawah Jabatan Fizik, Fakulti Sains UPM iaitu Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian, Bacelor Sains Fizik dengan Pendidikan, Bacelor Sains Fizik Bahan dengan Kepujian dan Bacelor Sains Fizik Instrumentasi dengan Kepujian. Program ini turut melibatkan kakitangan Jabatan Fizik UPM. Berlangsung selama tiga hari bermula 16 Mei - 18 Mei 2025.

 

Physics Fusion Day Ke-11 ini bertujuan untuk menjana minda dan fizikal yang proaktif serta produktif dalam kalangan warga Jabatan Fizik ke arah kerjasama dan bertukar-tukar pendapat disamping menggalakkan gaya hidup sihat melalui penglibatan dalam pelbagai jenis sukan yang dianjurkan. Physics Fusion Day Ke-11 telah membuka tirainya pada 16 Mei 2025 di Akademi Sukan UPM dengan Majlis Perasmian Rasmi yang disempurnakan oleh Ketua Jabatan Fizik iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Awang Kechik diiringi saudara Firdaus Al Hakim Mohd Idros selaku Pengarah Physics Fusion Day Ke-11. Ucapan pembukaan menekankan pentingnya aktiviti kokurikulum dalam membentuk graduan seimbang dan berkualiti.

Sejurus selepas itu, akademi sukan UPM dipenuhi dengan aksi dan sorakan apabila acara badminton lelaki, wanita dan campuran dimulakan. Kejohanan badminton telah dimenangi oleh pelajar tahun 3. Kejohanan ini memperlihatkan kecekapan dan kesungguhan para pelajar dalam setiap perlawanan. Dalam masa yang sama, pertandingan skuasy turut berlangsung yang dibahagikan kepada dua divisyen. Divisyen satu dimenangi oleh saudara Muhammad Fauzi Md Hairi manakala divisyen dua dimenangi oleh saudara Muhammad Nazreen Samuri.

 

Seterusnya pada 17 Mei 2025, program diteruskan di Gelanggang Futsal Kenanga, Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) UPM dengan dua sukan utama iaitu bola jaring wanita dan futsal lelaki. Kedua-dua acara berlangsung dalam suasana kompetitif tetapi harmoni, memperlihatkan bakat dan semangat juang tinggi dalam kalangan pelajar. Perlawanan bola jaring wanita dimenangi oleh pelajar tahun 3, manakala futsal lelaki dimenangi oleh pelajar tahun 2. 18 Mei 2025 merupakan kemuncak program berlangsung di Padang Melati, Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) UPM, yang bermula seawal 8.00 pagi dengan aktiviti Fizikrobik, senaman beramai-ramai yang penuh bertenaga. Seterusnya, diikuti dengan acara yang sangat dinanti-nantikan iaitu perbarisan empat kontinjen utama:

Merah-Scorpius (Bacelor Sains Fizik Bahan dengan Kepujian)

Biru-Pegasus (Bacelor Sains Fizik Instrumentasi dengan Kepujian)

Hijau-Cassiopeia (Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian)

Kuning-Hercules (Bacelor Sains Fizik dengan Pendidikan)

Kreativiti dalam pemakaian, slogan kontinjen dan semangat kontinjen menjadikan sesi perbarisan ini sebagai antara acara paling meriah dan penuh warna dalam program. Pemenang perbarisan ialah kontinjen Cassiopeia, manakala kontinjen Hercules memenangi kategori maskot terbaik dan kontinjen Scorpius memenangi kategori khemah terbaik.

 

 

Seterusnya, acara sukaneka mencuit hati para pelajar dan penonton. Antara aktiviti menarik termasuk:

  • Boling kelapa

  • Lompat tali berkumpulan

  • Boling balon air

  • Tarik tali

  • Roket air

 

Keputusan akhir sukaneka:

  • Johan: Pegasus

  • Naib Johan: Hercules

  • Tempat ketiga: Cassiopeia

  • Tempat keempat: Scorpius

 

Selepas acara sukaneka, aktiviti aerodance berlangsung dan menyaksikan kontinjen Pegasus muncul sebagai pemenang. Setiap kontinjen bersaing bukan sahaja untuk menang, tetapi juga untuk menunjukkan semangat kerjasama dan keseronokan sepanjang program. Program diakhiri dengan Majlis Penutupan Rasmi yang diadakan di Dewan Sri Harmoni, Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) UPM. Hadiah dan penghargaan disampaikan kepada pemenang setiap acara.

Secara keseluruhannya, Physics Fusion Day Ke-11 bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat sukan dalam kalangan pelajar, malah telah berjaya mencapai objektif penganjuran melalui penyertaan aktif, semangat kesukanan dan kerjasama antara pelajar serta kakitangan Jabatan Fizik. Program ini turut memperlihatkan potensi pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam aspek kepimpinan, pengurusan acara dan pembangunan sahsiah.

Berita disediakan oleh: Norhanan Wahida Zainuddin

Tarikh Input: 26/05/2025 | Kemaskini: 26/05/2025 | saifulasmal

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
TIADA
X, (09:53:17am-09:58:17am, 24 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]