Serdang, 23 Januari 2026 – Universiti Putra Malaysia melalui Jabatan Fizik dengan kerjasama Kelab Mahasiswa Fizik UPM (KMF) telah menganjurkan program Physics Open Day 2026 (POD) baru-baru ini yang berlangsung di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), melibatkan penyertaan seramai 200 orang pelajar terdiri daripada pelajar Pusat Asasi Sains UPM, Kolej Matrikulasi Selangor(KMS), Sekolah Sultan Alam Shah(SAS), Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani(SGS), Sekolah Menengah Kebangsaan Petaling dan juga pelajar Sekolah Kebangsaan Pilin. Program ini bertujuan memupuk minat sains fizik secara interaktif serta meningkatkan kefahaman konsep fizik dalam konteks kehidupan harian di samping memberi pendedahan awal kepada peluang kerjaya dan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi kepada generasi muda.

Program Physics Open Day 2026 (POD) dimulakan dengan kata-kata aluan serta taklimat ringkas oleh Dr. Muhammad Khairul Adib Bin Yusof selaku penasihat Kelab Mahasiswa Fizik UPM (KMF) bagi memperkenalkan objektif dan perjalanan program kepada para peserta. Seterusnya, peserta dibawa menyertai lawatan ke makmal dan bangunan sekitar Jabatan Fizik, di mana mereka didedahkan kepada pelbagai aplikasi fizik dalam kehidupan sebenar.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pendedahan kepada nano-graphite di Makmal Semikonduktor, pengenalan kepada AI data face-detection di Makmal Data Sains, pameran realiti maya (VR) di Bilik Mesyuarat Jabatan Fizik, penjelasan mengenai Fizik VS Mitos di Makmal Fizik Am, demonstrasi penyiasatan dengan mengaplikasi ilmu fizik bahan(CSI) di Makmal Fizik Bahan, Pengenalan kepada superconductor magnetic levitation di Makmal Superkonduktor, serta sesi Putra Physics Mastery berbentuk kuiz interaktif. Program turut dimeriahkan dengan pameran dan pertandingan poster penyelidikan pelajar tahun akhir yang mempamerkan hasil kajian dalam bidang fizik. Pada sebelah petang, program diteruskan dengan sesi ceramah dan perkongsian yang memberi gambaran lanjut mengenai bidang pengajian, peluang kerjaya serta hala tuju pendidikan dalam bidang fizik.

Ketua Penasihat program, Dr. Muhammad Safwan Bin Zaini berkata, pendekatan fizik melalui Real-Life Action dapat mengurangkan persepsi negatif terhadap subjek fizik sebagai subjek yang sukar melalui aplikasi pembelajaran kreatif dan mesra peserta. Tambah beliau, program ini juga menghubungkan pelajar dengan sumber akademik dan komuniti sains UPM untuk memperluaskan jaringan ilmu dari peringkat awal pendidikan.
Pengarah program, Muhamad Irfan Bin Muhammad Tayyab berkata dalam ucapannya menyatakan bahawa Physics Open Day 2026 dianjurkan sebagai platform pendedahan awal kepada dunia fizik yang sebenar melalui pendekatan pembelajaran secara interaktif dan berasaskan pengalaman. “Saya percaya program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan minat terhadap sains, malah memberi peluang kepada pelajar untuk memahami peranan fizik dalam pembangunan teknologi dan kehidupan seharian,” katanya.
Ketua Jabatan Fizik, Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Bin Awang Kechik menegaskan bahawa penganjuran Physics Open Day 2026 mencerminkan komitmen Jabatan Fizik dalam memupuk budaya sains sejak peringkat awal pendidikan. “Saya berharap agar program ini dapat membuka minda para pelajar terhadap potensi bidang fizik serta menggalakkan mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang sains dan teknologi pada masa hadapan,” katanya.

Secara keseluruhannya, penganjuran Physics Open Day 2026 (POD) membuktikan keupayaan Universiti Putra Malaysia sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah komited dalam menyemai budaya ilmu dalam kalangan masyarakat. Program ini berjaya menampilkan pendekatan pembelajaran yang holistik, interaktif dan relevan dengan keperluan pendidikan semasa, selari dengan aspirasi UPM sebagai universiti penyelidikan yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa. Dengan kejayaan Physics Open Day 2026, Universiti Putra Malaysia terus membuktikan kesungguhannya dalam membentuk landskap pendidikan yang progresif dan berimpak tinggi, sekaligus memperkukuh reputasinya sebagai institusi yang unggul dalam menerajui pembangunan ilmu dan bakat anak bangsa.
Disediakan oleh: Muhammad Aiman Hakim Bin Mamat
Tarikh Input: 05/02/2026 | Kemaskini: 05/02/2026 | saifulasmal

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :