Program Gerak Ilmu Kimia UPM: Membangun Kepimpinan Dan Minat Dalam Bidang Kimia | FAKULTI SAINS science
» BERITA » Program Gerak Ilmu Kimia UPM: Membangun Kepimpinan dan Minat Dalam Bidang Kimia

Program Gerak Ilmu Kimia UPM: Membangun Kepimpinan dan Minat Dalam Bidang Kimia

Serdang, 26 Oktober 2024 – Program Gerak Ilmu Kimia bertajuk "Bonding Through Chemistry Adventure" telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah D dan sekitar Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM). Acara anjuran Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM ini melibatkan kerjasama dengan Kelab Mahasiswa Kimia bagi sesi 2024/2025. Program ini turut mendapat sokongan daripada pihak pengurusan fakulti.

Acara yang bermula pada pukul 7.30 pagi dan berakhir pada 5.00 petang ini menyaksikan penyertaan seramai 46 ahli jawatankuasa dan 107 mahasiswa baru dalam pelbagai aktiviti menarik. Aktiviti ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai ilmu kimia serta kemahiran insaniah, yang relevan dengan perjalanan akademik mereka di UPM.

 

 

Gambar menunjukkan penglibatan pensyarah dan mahasiswa tahun 1 Jabatan Kimia, UPM

 

Menurut Prof. Madya ChM. Dr. Haslina Ahmad sebagai penasihat program, program ini berjaya meningkatkan pemahaman peserta mengenai aplikasi ilmu kimia dalam kehidupan seharian serta mendorong minat mereka untuk meneroka ilmu sains kimia dengan lebih mendalam. Peserta program turut didedahkan kepada struktur kurikulum, kemahiran insaniah, serta halatuju kerjaya dalam bidang kimia, menjadikan mereka lebih bersedia dalam menghadapi cabaran akademik.

Dari segi impak, program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan pengurusan, menjadikan mereka lebih kompeten dalam menganjurkan program. Selain itu, pihak universiti berharap program ini mampu membina keyakinan diri yang tinggi dalam kalangan pelajar, serta memberi nama baik kepada UPM sebagai institusi yang melahirkan pemimpin berdaya saing dan berinovasi. Walaupun program berjalan lancar, terdapat beberapa cabaran seperti perubahan tarikh acara akibat pertembungan dengan acara lain di kampus. Namun, dengan penyusunan semula jadual, cabaran ini dapat diatasi dengan berkesan. Dengan penganjuran acara ini, UPM sekali lagi menunjukkan komitmennya dalam memupuk minat terhadap ilmu sains serta melahirkan generasi graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga kompeten dari segi kepimpinan dan kemahiran insaniah.

 

Disediakan oleh:

Muhammad Izzuddin Norisam

Pelajar Jabatan Kimia

 

Tarikh Input: 27/11/2024 | Kemaskini: 27/11/2024 | nashrin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
TIADA
W, (12:51:20pm-12:56:20pm, 21 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]