Dengkil, 26 Ogos 2024 - Sempena Minggu Sains dan Matematik yang dianjurkan oleh SMK Dengkil, pihak sekolah telah mengambil inisiatif menjemput ahli-ahli dari Jabatan Matematik dan Statistik, Universiti Putra Malaysia (UPM), untuk mengadakan Program Rekreasi Matematik. Program ini dirancang sebagai pendekatan inovatif dan menyeronokkan untuk mempelajari Matematik. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bukan sahaja bertujuan mendidik, tetapi juga menghiburkan pelajar. Melalui pelbagai aktiviti seperti pameran, permainan Matematik, dan aktiviti berkumpulan, program ini diharapkan dapat mengubah persepsi negatif pelajar terhadap Matematik, menjadikannya lebih menarik dan relevan dalam kehidupan seharian.
Program yang telah berlangsung pada 21 Ogos 2024 (Rabu) di SMK Dengkil ini melibatkan seramai 220 pelajar Tingkatan 1 dan 3 dari SMK Dengkil. Antara aktiviti utama yang dijalankan adalah permainan "Bisik-bisik Math," "Madu & Racun," dan "Math-Bingo." Setiap permainan ini direka untuk menguji fokus, daya ingatan, semangat berkumpulan, serta membantu pelajar mengulangkaji pelajaran Matematik dengan cara yang interaktif. Pelajar dibahagikan kepada 10 kumpulan dan bersaing dalam setiap permainan untuk menyelesaikan masalah Matematik.
Program ini turut melibatkan seramai 15 pensyarah dan 5 pelajar pra-siswazah dari Jabatan Matematik dan Statistik, UPM, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan program ini. Hasilnya, pelajar berpeluang mengalami proses pembelajaran Matematik yang menyeronokkan melalui permainan dan aktiviti yang disediakan, sekaligus memupuk minat dan meningkatkan kefahaman mereka terhadap subjek ini.
Pengetua SMK Dengkil, Puan Norliza binti Mohd Noah, dan Guru Kanan Sains dan Matematik, Puan Umi Sazilah, turut menyokong penuh program ini, yang diharapkan dapat memberi impak positif terhadap pembelajaran Matematik di kalangan pelajar.




Tarikh Input: 26/08/2024 | Kemaskini: 26/08/2024 | norlida_mn

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :