Selamat Bersara Puan Noriza Mazlan | FAKULTI SAINS
» BERITA » Selamat bersara Puan Noriza Mazlan

Selamat bersara Puan Noriza Mazlan

Puan Noriza Maslan, telah menamatkan perkhidmatan beliau secara rasmi setelah 40 tahun mencurahkan bakti sebagai Penolong Pegawai Sains di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM). Persaraan beliau bukan sahaja menandakan tamatnya satu tempoh perkhidmatan yang panjang, malah menjadi momen penuh penghargaan buat seluruh warga jabatan yang pernah bekerjasama dan mengenali beliau.

Puan Noriza atau dikenali sebagai Kak Iza, merupakan seorang yang berdedikasi tinggi, teliti dalam melaksanakan tugas, dan sentiasa bersedia membantu para pensyarah serta pelajar dalam urusan makmal dan eksperimen. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi makmal, keselamatan peralatan, dan menyokong aktiviti penyelidikan serta pengajaran dengan penuh komitmen.

 

Puan Noriza menyampaikan ucapan terakhir beliau sebelum bersara semasa Majlis Riang Raya Physicist pada 10 April yang lalu.

Sepanjang bertugas, beliau banyak menyumbang kepada aktiviti akademik dan teknikal di jabatan, dan sering menjadi rujukan dalam kalangan pelajar serta rakan sekerja. Bukan sahaja cekap dari segi tugas, sifat mesra dan sabarnya menjadikan beliau disenangi oleh semua, malah kehadirannya sering menceriakan suasana kerja.

Sebagai penghargaan atas sumbangan cemerlang beliau, Kak Iza telah menerima Anugerah Perkhidmatan Melebihi 40 Tahun dan Anugerah Jasa Putra Tahun 2024 sempena Majlis Gemilang Putra (MGP) Universiti Putra Malaysia Tahun 2025 yang telah diadakan pada 23 Mei 2025. Anugerah ini merupakan suatu pengiktirafan daripada universiti atas dedikasi dan komitmen luar biasa beliau sepanjang berkhidmat di UPM.

Kami di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM sangat merasai kehilangan besar dengan persaraan beliau. Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas segala sumbangan Puan Noriza dan mendoakan agar beliau sentiasa diberi kesihatan, kebahagiaan, dan ketenangan dalam menjalani kehidupan selepas bersara.

Akhir kata, selamat bersara Puan Noriza Maslan. Jasa anda akan sentiasa dikenang.

 


Gambar Puan Noriza bersama-sama rakan sekerja di Jabatan Fizik

Tarikh Input: 30/05/2025 | Kemaskini: 30/05/2025 | harithdaniel

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
TIADA
W, (06:43:31am-06:48:31am, 19 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]