IMBC@TIOMAN 2023: INISIATIF PEMBERSIHAN ALAM SEKITAR YANG MERIAH | FAKULTI SAINS
» BERITA » IMBC@TIOMAN 2023: INISIATIF PEMBERSIHAN ALAM SEKITAR YANG MERIAH

IMBC@TIOMAN 2023: INISIATIF PEMBERSIHAN ALAM SEKITAR YANG MERIAH

PULAU TIOMAN – Program International Microplastic Beach Clean Up atau IMBC@Tioman 2023 telah dilangsungkan bermula 6 hingga 20 September 2023 secara dalam talian dan fizikal bertempat di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Pahang. Program anjuran Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia ini telah mendapat kerjasama dengan Persatuan Analitikal Sains Malaysia (ANALIS) bersama-sama dengan 14 rakan strategik yang disokong oleh 19 penaja.
 
IMBC ini adalah sebuah program berbentuk kesukarelawanan yang diideakan oleh Dr. Mohd Rashidi Abdull Manap selaku Ketua Program yang diketangahkan bersama-sama Prof. Madya Dr. Norizah Abdul Rahman dan Dr. Mohd Haniff Wahid di mana kesemuanya adalah pensyarah di Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia.
 
Objektif utama IMBC ini dilaksanakan adalah untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar yang semakin serius terutamanya yang melibatkan mikroplastik, sisa pepejal, bahan kimia dan sisa organik. Di Pulau Tioman sahaja, pencemaran akibat mikroplastik dalam pelbagai bentuk dan warna telah mendominasi 78% daripada jumlah keseluruhan.
 
Dengan mensasarkan pembersihan pantai sebagai agenda utama, terdapat beberapa program lain turut diadakan antaranya webinar secara dalam talian, Cabaran Inovasi dan Pameran Sains Forensik oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Negeri Pahang serta pemberian sumbangan berbentuk makanan kepada 30 keluarga terpilih di sekitar Pulau Tioman. Menariknya program ini, ianya turut melibatkan golongan pelajar di mana sebanyak tiga (3) buah sekolah menengah dan tadika kanak-kanak dilibatkan dengan jumlah penyertaan tidak kurang 80 orang.
 
Seramai 313 orang perseorangan dari dalam dan luar negara terlibat dalam usaha pembersihan pantai di sekitar Pantai Tekak yang berjaya mengumpulkan sebanyak 116 kilogram sisa, 571 puntung rokok, manakala sebanyak 50 kilogram di Monkey Bay. Usaha menyelamatkan alam sekitar ini turut membersihkan Crown of Thorn Starfish yang diketuai oleh 15 orang penyelam berkemahiran.
 
Keperihatinan semua dalam menangani isu pencemaran ini telah membuahkan hasil apabila IMBC@Tioman 2023 ini berjaya mengumpulkan dana berbentuk sumbangan wang tunai dan lain-lain sumbangan daripasa rakan-rakan strategik dan penaja-penaja dalam serta luar negara. Ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen secara kolektif semua pihak dalam mengatasi isu alam sekitar melalui promosi-promosi pengurusan sisa oleh pihak bertanggungjawab ke arah pembentukan kesedaran dalam diri semua pihak.
 
 
 

Tarikh Input: 10/11/2023 | Kemaskini: 10/11/2023 | naszroul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXFFWAO~