JABATAN FIZIK UPM RAI LEBIH 90 PELAJAR DALAM MAJLIS APRESIASI KECEMERLANGAN TAHUNAN | FAKULTI SAINS
» BERITA » JABATAN FIZIK UPM RAI LEBIH 90 PELAJAR DALAM MAJLIS APRESIASI KECEMERLANGAN TAHUNAN

JABATAN FIZIK UPM RAI LEBIH 90 PELAJAR DALAM MAJLIS APRESIASI KECEMERLANGAN TAHUNAN

SERDANG, 3 NOVEMBER 2023 - Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kelab Mahasiswa Fizik (KMF) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Mahasiswa Jabatan Fizik (MAKeF) 2023 bertempat di Dewan Kuliah D, Fakulti Sains. Majlis ini bertujuan untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada para pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum di samping menyuntik semangat dan memotivasikan para pelajar di Jabatan Fizik untuk lebih berusaha dan berjaya dalam aspek akademik mahupun kokurikulum.

Sebanyak sembilan kategori anugerah diberikan pada MAKeF 2023 iaitu Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Quantum Leap, Anugerah Khas Ketua Jabatan, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal Siswazah, Anugerah Persatuan Sains & Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS), Anugerah Adisiswa Fizik, Anugerah Profesor Zainal Abidin Talib, Anugerah Profesor Abdul Halim Shaari, dan akhir sekali, Anugerah Profesor Sidek Ab Aziz. Kesemua anugerah ini menjadikan jumlah penerima keseluruhan seramai 96 orang. Pada tahun ini juga Jabatan Fizik telah memperkenalkan satu lagi anugerah yang bakal dipertandingkan bermula pada MAKeF 2024, iaitu Anugerah Keusahawanan Dr. Gadget UPM. Anugerah ini adalah tajaan Dr. Gadget UPM yang akan diberikan kepada pelajar yang bergiat aktif dalam bidang keusahawanan dan mencapai PNGK minimum 3.000.


Ketua Jabatan Fizik, Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa bin Awang Kechik sempat menitipkan nasihat dan kata-kata semangat untuk disemat sebagai inspirasi kepada semua pelajar di Jabatan Fizik. Sebelum beliau mengakhiri ucapan, beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan melalui ucapannya dan berharap agar kejayaan yang diraih oleh para penerima anugerah akan menjadi pembakar buat pelajar lain untuk turut berjaya pada masa akan datang. Penaja utama MAKeF 2023, Ketua Pegawai Eksekutif Dr. Gadget UPM, Encik Asraf Mustaqim Amran hadir bagi memeriahkan MAKeF 2023. Kehebatan dan sokongan beliau menjayakan lagi MAKeF 2023 sekaligus melancarkan majlis dalam meraikan pencapaian cemerlang mahasiswa Jabatan Fizik.

Pengarah MAKeF 2023, Ain Nabihah binti Mohd Padaliah, pelajar tahun dua Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian menyeru agar semua pelajar terus berusaha untuk memajukan diri dalam segenap aspek dan berusaha menjadi insan yang holistik. Turut menjayakan majlis adalah barisan jawatankuasa eksekutif yang diketuai oleh Dr. Muhammad Khairul Adib bin Muhammad Yusof sebagai Ketua Penasihat 1, dan Dr. Nor Kamilah binti Saat sebagai Ketua Penasihat 2.

Anugerah yang paling dinanti-nantikan adalah Anugerah Profesor Sidek Ab Aziz iaitu anugerah tertinggi MAKeF yang telah dimenangi oleh dua orang individu cemerlang iaitu Ahmad Danish Iskandar bin Mohd Fadzil dan Muhammad Amir Zakwan bin Mohd Zailani. Kedua-duanya tidak menjangkakan untuk menerima anugerah tersebut pada MAKeF 2023. DI akhir majlis, kedua-dua pemenang ini berkongsi petua dan nasihat dalam mengimbangi bidang akademik dan kokurikulum. Dalam pada itu, Prof. Dr Sidek Hj Abdul Aziz, penaja bersama MAKeF 2023 turut tidak lupa untuk mengucapkan tahniah kepada pelajar Jabatan Fizik yang berjaya menempah nama dalam majlis apresiasi itu menerusi rakaman video beliau yang ditayangkan di hadapan para hadirin. Beliau juga menaja para penerima Anugerah Profesor Sidek Ab Aziz, menginap di Denai Desa selama 3 hari 2 malam.

Disediakan oleh: Nur Anna Azwa Adnan

Tarikh Input: 07/11/2023 | Kemaskini: 09/11/2023 | saifulasmal

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXFFXAJ~