Jabatan Kimia Fakulti Sains UPM Hasilkan 1,255 Liter Cecair ‘Hand Sanitizer’ | FAKULTI SAINS
» BERITA » Jabatan Kimia Fakulti Sains UPM Hasilkan 1,255 Liter Cecair ‘Hand Sanitizer’

Jabatan Kimia Fakulti Sains UPM Hasilkan 1,255 Liter Cecair ‘Hand Sanitizer’

 

Oleh: Sabri Omar

SERDANG-Menyedari keperluan penggunaan cecair sanitasi tangan atau ‘hand sanitizer’ dalam usaha membantu menangani penularan wabak COVID-19, Jabatan Kimia Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menghasilkan sebanyak 1,255 liter bahan tersebut yang amat diperlukan oleh orang ramai bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Dari jumlah tersebut, sebanyak 8,500 botol berisipadu 80 milimeter (ml) setiap satu berjaya dibotolkan dan selebihnya bagi tujuan isian semula.

Produk ini disumbangan secara percuma kepada petugas barisan hadapan PDRM, Angkatan Tentera, Pusat Kesihatan Universiti (PKU),Hospital Pengajar UPM, perkhidmatan penting UPM, pelajar-pelajar UPM, penduduk sekitar Serdang, Putrajaya, Cyberjaya dan beberapa kawasan zon merah jangkitan Covid-19.

 

Penghasilan produk tersebut yang mematuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggunakan bahan isopropyl alkohol sebanyak 75 peratus sebagai bahan aktif utama dan gliserol sebagai bahan emolien.

Proses pembuatan cecair sanitasi ini dijalankan di Makmal Pengajaran 9 dan 10 Jabatan Kimia Fakulti Sains UPM dengan mematuhi kaedah dan piawaian yang ditetapkan. Projek ini melibatkan dua fasa pembiayaan yang mana bagi fasa pertama melibatkan kerjasama Global Innovation Through Science and Tecnology (GIST), Amerika Syarikat sementara bagi fasa kedua melalui pembiayaan dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Surau Al-Ansar Taman Suria Tropika dan Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM).

 

Seramai 11 orang terlibat dalam pembuatan cecair sanitasi ini yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Jabatan Kimia Fakulti Sains, Dr. Nadiah Mad Nasir serta dibantu oleh Dr. Nor Azam Endot (pensyarah), Zaidina Mohd Daud, Naszroul Haqimee Rahmat (pegawai sains), Muhamad Fazli Roslan, Nurshakinah Azmi, Shareena Safiai, Mustaqim Muhammad, Nur Aishah M Rosli (penolong pegawai sains), Abdul Latif Shaari dan Nor Azura Zulkafly (pembantu makmal).

Dekan Fakulti Sains Prof. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman ketika di temui berkata, cecair sanitasi tangan sangat diperlukan di pelbagai sektor terutama barisan hadapan tetapi bekalan agak terhad di samping peningkatan kos yang amat ketara akibat permintaan tinggi. Dengan sokongan Naib Canselor UPM, Fakulti Sains melalui Jabatan Kimia terdorong untuk menerajui kerjasama komuniti dengan NGO serta Inovasi Global menerusi Sains dan Teknologi (GIST) bagi penghasilan projek cecair sanitasi tangan ini.

 

 

Tarikh Input: 07/05/2020 | Kemaskini: 07/05/2020 | nashrin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
B1606665867