
Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), ditubuhkan pada Julai 1972 dan merupakan salah satu daripada empat jabatan yang ada di Fakulti Sains. Sejak penubuhannya, jabatan ini telah berkembang pesat dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam bidang penyelidikan, pendidikan, dan kerjasama strategik dengan industri.
Bidang tumpuan utama Jabatan Fizik meliputi pelbagai disiplin penyelidikan yang berkaitan dengan sains fizikal dan teknologi. Antara bidang penyelidikan yang ditawarkan termasuklah Semikonduktor, Struktur Nano dan Peranti Superkonduktor, Magnetik Gunaan, Kaca dan Seramik, Fizik Teori dan Fizik Komputasi, Sains Kuantum dan Teknologi, Elektromagnet Gunaan dan Instrumentasi, Frekuensi Radio dan Gelombang Mikro, Data Sains, Fizik Optik, Optoelektronik, Fotonik, Radiasi, Biofizik, Sel Solar, dan Karbon.
Matlamat utama Jabatan Fizik adalah untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan tinggi, kompeten, dan bersedia untuk menyahut cabaran kebolehpasaran kerja mengikut keperluan industri dan profesional. Graduan yang dihasilkan bukan sahaja dilengkapi dengan asas teori yang kukuh, tetapi juga kemahiran praktikal yang relevan, menjadikan mereka aset berharga kepada industri dan institusi penyelidikan.
Kecemerlangan Jabatan Fizik bukan sahaja terhad kepada pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga diiktiraf melalui pelbagai sumbangan dalam bidang penyelidikan. Jabatan ini telah menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak di peringkat nasional dan antarabangsa atas pencapaian dan sumbangan yang signifikan dalam dunia fizik. Antaranya adalah Anugerah Penyelidik Muda MASS 2024 yang diterima oleh Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid, Unesco-L’Oréal For Women in Science 2023 yang diterima oleh Prof. Madya Dr. Che Azurahanim Che Abdullah, SEAFOMP Young Leaders Award 2023 yang diterima oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Khalis Abdul Karim, dan lain-lain.
Selain itu, Jabatan Fizik juga menjalinkan kerjasama dengan institusi akademik antarabangsa seperti Nagoya Institute of Technology (NiTECH) di Jepun, Shibaura Institute of Technology (SIT) di Jepun, University of Wollongong (UOW) di Australia, National Yunlin University of Science and Technology di Taiwan, dan Universitas Mataram di Indonesia. Kerjasama antarabangsa ini bukan sahaja membantu meningkatkan reputasi akademik dan penyelidikan Jabatan Fizik di peringkat global, tetapi juga menyediakan akses kepada teknologi dan pengetahuan terkini dalam pelbagai bidang fizik yang strategik. Para pelajar dan penyelidik di Jabatan Fizik mendapat manfaat besar melalui pertukaran ilmu, akses kepada fasiliti penyelidikan bertaraf dunia, dan peluang untuk membina jaringan global yang memberi impak kepada kerjaya akademik dan industri.
Jabatan Fizik juga menjalinkan hubungan erat dengan pelbagai syarikat dan industri tempatan serta antarabangsa. Kerjasama dengan syarikat-syarikat ini membuka ruang untuk penyelidikan yang lebih terfokus kepada aplikasi industri, sekaligus memacu inovasi dan perkembangan teknologi. Antara syarikat yang terlibat adalah FUJIFILM Asia Pacific Pte. Ltd., Quantum Excellence Sdn. Bhd., Connective Global Sdn. Bhd., Eragene ICT Sdn. Bhd., dan Earthtech Energy Sdn. Bhd.
Secara keseluruhannya, Jabatan Fizik UPM memainkan peranan penting dalam memperkasa bidang sains dan teknologi di Malaysia melalui kerjasama kukuh dengan pelbagai institusi akademik dan industri. Jabatan ini terus menjadi peneraju dalam penyelidikan dan pendidikan fizik yang berimpak tinggi di peringkat global, sambil memastikan bahawa sumbangannya kepada industri dan masyarakat kekal relevan dan berterusan.
Kemaskini:: 18/10/2024 [harithdaniel]

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :