Penyelidik UPM Hasilkan Kaca Daripada Sekam Padi | FAKULTI SAINS
» BERITA » Penyelidik UPM hasilkan kaca daripada sekam padi

Penyelidik UPM hasilkan kaca daripada sekam padi

PETALING JAYA: Kumpulan penyelidikan kaca dan seramik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan inovasi kaca daripada sekam padi untuk dijadikan alternatif tambahan kepada industri pembuatan kaca tempatan.

Pensyarah Kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains UPM, Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid berkata, penyelidikan untuk menghasilkan kaca menggunakan sekam padi dipilih kerana ia mengandungi sumber silika yang sangat tinggi.

 

Beliau berkata, daripada kajian terperinci yang telah dijalankan, didapati sekam padi merupakan salah satu bahan buangan industri yang paling sesuai untuk dijadikan bahan utama dalam pembuatan kaca.

 

“Bagi menghasilkan kaca dengan menggunakan sekam padi ini, saya berusaha mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai bahan yang mengandungi silika berikutan komposisi ini sangat sesuai untuk menjadi alternatif utama kepada bahan pembuatan kaca yang sedia ada di industri pada masa sekarang. 

“Saya memilih untuk menggunakan sekam padi bagi menggantikan pasir sebagai bahan utama untuk penghasilan kaca kerana ianya sangat mudah diperolehi, murah dan juga menggunakan tenaga yang lebih rendah dalam proses pembuatan kaca. 

 

“Selain itu, inovasi kaca ini memiliki banyak kelebihan, antara lain sumber silika yang tinggi dapat menghasilkan kaca yang lebih kuat dan tahan terhadap suhu yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut  Dr. Mohd Hafiz, kaca berasaskan sekam padi ini ini boleh digunakan sebagai bahan utama dalam industri pembuatan kaca, antaranya untuk pembuatan aksesori, botol minuman, perabot dan lain-lain. 

 

Dalam pada itu katanya, penyelidikan tersebut diharapkan dapat dijadikan alternatif tambahan pada industri pembuatan kaca tempatan untuk mendapatkan sumber lebih murah, kaedah pembuatan yang lebih mudah, bahan yang berkualiti, di samping menggalakkan perkembangan industri pembuatan negara.

 

“Penyelidikan ini juga terhasil melalui peluang kerjasama dengan pihak industri tempatan dan luar negara dan pengalaman menyaksikan proses pembuatan kaca di sebuah kilang pemprosesan kaca beserta saranan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi agar bidang sains dan teknologi dibangunkan secara meluas,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 Dipetik dari sumber Utusan Online

Tarikh Input: 10/03/2022 | Kemaskini: 10/03/2022 | nashrin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXEUJAx~