Sejarah Fakulti | FAKULTI SAINS
» MENGENAI KAMI » Pengenalan » Sejarah Fakulti

Sejarah Fakulti

Sejarah penubuhan Fakulti Sains daripada tahun 1972 telah memperlihatkan transformasi dari sebuah bahagian yang kecil, kini gah menjadi antara fakulti yang terbesar di Universiti Putra Malaysia (UPM). Fakulti ini juga terpahat dalam lipatan sejarah UPM dengan menjadi penyumbang serta titik mula kepada kewujudan dan penubuhan beberapa buah fakulti yang lain.

Pada tahun 1972, fakulti ini pada asalnya ditubuhkan sebagai Bahagian Sains Asas dimana objektif penubuhannya ialah untuk menawarkan kursus-kursus Sains Asas kepada pelajar-pelajar fakulti lain di UPM. Perkembangan pesat terhadap permintaan dan penawaran kursus-kursus tersebut memerlukan struktur pentadbiran dan akademik yang lebih khusus. Justeru, selaras dengan objektif serta peranan yang semakin penting, pada tahun 1975 Bahagian Sains Asas telah dinaiktaraf kepada status fakulti dan dinamakan sebagai Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar.

 

Semenjak itu, Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar telah melalui beberapa proses evolusi, termasuk penubuhan Jabatan Sains Alam Sekitar pada tahun 1975 dan Jabatan Sains Komputer pada tahun 1992. Kedua-dua jabatan ini kemudiannya dinaiktarafkan untuk membentuk dua buah fakulti baharu iaitu Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pada tahun 1998 dan Fakulti Pengajian Alam Sekitar pada tahun 2004. Pada tahun 2004 juga, Jabatan Biokimia dan Mikrobiologi pula telah dipindahkan untuk bergabung dengan Jabatan Bioteknologi di Fakulti Sains Makanan untuk membentuk sebuah lagi fakulti baharu iaitu Fakulti Sains Bioteknologi dan Biomolekul. Semenjak penstrukturan tersebut, bermula daripada tahun 2004, fakulti ini telah dinamakan semula sebagai Fakulti Sains dengan empat buah jabatan iaitu Jabatan Biologi, Jabatan Fizik, Jabatan Kimia dan Jabatan Matematik.

Fakulti Sains menawarkan 14 program akademik untuk pelajar Pra-Siswazah, 5 program Master Sains Kerja Kursus dan program Sarjana Sains (MS) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang. Sebanyak 3 buah program akademik yang ditawarkan di peringkat Pra-Siswazah telah mendapat  pengiktirafan   akreditasi badan antarabangsa iaitu Royal Society of Chemistry (RSC) yang berpejabat di United Kingdom.

 

 

Kemaskini:: 06/03/2023

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI SAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXETJAn~