Beberapa kematian dan pesakit yang memerlukan bantuan perubatan dalam kalangan warga tempatan di festival muzik di Malaysia tidak pernah berlaku sehingga baru baru ini. Namun, kajian di negara lain pada tahun 2005-2008 menunjukkan bahawa penggunaan dadah di kalangan kelompok peserta semasa festival muzik telah berlaku. Oleh itu, peserta yang menghadiri sesuatu festival atau pesta yang besar ini menjadi kumpulan yang berisiko tinggi mungkin kerana penggunaaan dadah dan pasaran untuk dadah terlarang dan bahan psikoaktif baharu (NPS) telah berkembang dengan ketara di Malaysia dan serata dunia.
Penggunaan dadah yang diharamkan di Malaysia memang telah wujud hampir di semua peringkat umur. Dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, kajian yang di laporkan pada 2019 menunjukkan bahawa 6.6% kanak-kanak lelaki telah menggunakan dadah sekurang-kurangnya sekali, manakala 1.7% daripada semua remaja dalam kumpulan ini melaporkan pernah mencuba dadah. Bagi belia berumur 15 hingga 40 tahun, tinjauan terkini di seluruh negara mendedahkan bahawa 5.5% telah menggunakan dadah sepanjang hayat mereka, dan 3.5% telah menggunakannya pada bulan sebelumnya. Pelajar universiti negara ASEAN juga menunjukkan kadar yang lebih tinggi, dengan 16.9% mengakui penggunaan dadah pada tahun sebelum itu dalam kajian yang meliputi Malaysia dan negara ASEAN yang lain.
Pelbagai dadah terlarang telah di laporkan di Malaysia seperti dadah semulajadi, semi sintetik, dan dadah sintetik. Heroin merupakan dadah semi sintetik yang paling banyak disalahgunakan di Malaysia manakala dadah sintetik jenis amphetamine type stimulants (ATS) seperti ekstasi, syabu, dan yaba telah dikenal pasti sebagai dadah terlarang yang semakin meningkat juga penggunaannya. Analisis forensik mendedahkan bahawa kandungan heroin yang di jual di jalanan selalunya hanya mengandungi kurang daripada 10% heroin sahaja. Walaupun tidak sedominan heroin atau ATS, kanabis kekal sebagai dadah semulajadi terlarang yang ketara penggunaannya di Malaysia. Dadah terlarang juga mungkin berinteraksi dengan ubat farmaseutikal atau ramuan herba yang diambil bersama, menjadikan penggunaan poli bahan bertambah risiko untuk ketoksikan dadah.
Terdapat juga kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemunculan New Psychoactive Substances (NPS); molekul sintetik yang direka untuk meniru kesan dadah semulajadi seperti kanabis. The United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) telah melaporkan peningkatan dalam NPS di 147 negara sehingga tahun 2024. Di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, pasaran methamphetamine dan pelbagai NPS telah berkembang berleluasa. Semua bahan kimia ini termasuk dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ini telah mencerminkan perubahan pola penyalahgunaan dadah dan pasaran yang sedang berkembang dengan ketara.
Oleh itu, terdapat beberapa syor yang sesuai dalam skop di Malaysia untuk pertimbangan pelbagai pihak di Malaysia bagi mengurangkan risiko penggunaan dadah di kalangan kelompok yang berisiko semasa festival muzik berdasarkan banyak kajian di Australia dan Netherlands. Antara syor itu ialah, meningkatkan pendidikan dadah di pelbagai peringkat umur dan memperkenalkan ujian pil. Sebagai contoh, ujian pil membolehkan orang awam menyerahkan bahan kimia untuk analisis toksikologi bagi menentukan kandungan bahan, ketulenan pil dan serbuk, yang mungkin boleh menyenaraikan bahan kimia yang berpotensi berbahaya serta akhirnya menggalakkan pelupusan dadah. Dengan mengguna pakai strategi ini, penggunaan dadah dan bahaya yang berkaitan di pelbagai golongan usia mungkin dapat dikurangkan di Malaysia. Juga, ahli kimia di pelbagai agensi kerajaan dan universiti tempatan juga perlu mendapat sokongan penaja dana penyelidikan dan dana khas di peringkat tempatan bagi melaksanakan kajian kualitatif dan kuantitatif dadah di lapangan dan makmal di universiti.
Dr. Mohd Rashidi Abdull Manap AMRSC, FSSM |
Jabatan Kimia
Fakulti Sains UPM
Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang,
Selangor MALAYSIA
Tarikh Input: 22/01/2025 | Kemaskini: 22/01/2025 | ahmadzaidi

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
MALAYSIA
Maklum Balas :