Program IMBC @ Tioman 2023 Pupuk Kesedaran Jaga Kebersihan Pantai | FACULTY OF SCIENCE
» NEWS » Program IMBC @ Tioman 2023 pupuk kesedaran jaga kebersihan pantai

Program IMBC @ Tioman 2023 pupuk kesedaran jaga kebersihan pantai

Oleh : Dr. Mohd Rashidi Abdull Manap

SERDANG – Jabatan Kimia , Fakulti Sains UPM dengan kerjasama Malaysian Association of Analytical Sciences (ANALIS) telah menganjurkan Program International Microplastic Beach Clean Up @ Tioman di Pantai Kg. Tekek dan Monkey Bay , Pulau Tioman pada 6 hingga 20 September 2023.

Memikul matlamat utama untuk mengatasi masalah alam sekitar yang menyebabkan pencemaran pantai terutamanya mikroplastik, IMBC@Tioman 2023 membawa para peserta yang terdiri daripada rakyat tempatan dan antarabangsa bersama-sama menanam tanggungjawab sosial, meningkatkan kesedaran alam sekitar dan mempromosikan kerjasama untuk pantai dan lautan yang lebih bersih.

Selain masyarakat awam, sukarelawan dan peserta antarabangsa, program ini juga melibatkan 80 orang pelajar sekolah dan tadika sebagai peserta bagi memberi pendedahan awal dalam memupuk kesedaran penjagaan alam sekitar. Sebanyak 99 kg sisa telah dikumpulkan semasa pembersihan di pantai Tekek, manakala 50 kg sisa telah dikumpulkan di Monkey Bay.

Sejajar dengan Hari Pembersihan Sedunia dalam menangani krisis mikroplastik di lautan Malaysia, UPM telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kyushu Jepun dalam usaha memerangi sisa marin dan memajukan penyelidikan mikroplastik di Pulau Tioman.

Selain pembersihan pantai, cabaran inovasi dalam meneroka penyelesaian bahan buangan telah melibatkan lebih 200 pelajar sekolah dalam Malaysia melalui program Webinar Atas Talian.

Antara rakan strategik yang turut menyumbang tenaga dan memberikan kerjasama dalam program ini adalah Lembaga Pembangunan Tioman, Jabatan Kimia Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ,Jabatan Laut Semenanjung Malaysia, SMK Tekek, Reef Check Malaysia, Alam Flora, SW Corp, Charles Sturt University, EcoGarage Enterprise, Pertubuhan Generasi Peduli Sampah dan Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

Program IMBC@Tioman 2023 ini telah dirasmikan oleh YBhg. Laksamana Pertama (M) Ahmad Faridi bin Ferdaus dari Ibu Pejabat Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Date of Input: 04/10/2023 | Updated: 04/10/2023 | nashrin

MEDIA SHARING

FACULTY OF SCIENCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696601/6602/6603
0397693237
SXEcEAl~