
Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Kelab Mahasiswa Kimia, Fakulti Sains telah mengadakan
program We Protect We Survive (WPWS) 3.0 untuk meningkatkan kesedaran mengenai mikroplastik.
Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) ini bertujuan untuk
mendidik pelajar-pelajar mengenai impak negatif yang dibawa oleh mikroplastik ke atas alam sekitar
serta kepentingan amalan kitar semula.
Ketua program, Nur Faizatul Iqma Mohd Jupri berkata, mikroplastik adalah zarah plastik yang sangat
kecil dan boleh mendatangkan ancaman besar kepada ekosistem serta kesihatan manusia.
“Plastik yang digunakan secara berpanjangan boleh menjadi asbab kepupusan flora dan fauna baik
spesies daratan mahupun lautan kerana penggunaan plastik tanpa kawalan memberikan impak
boleh membahayakan ekosistem serta merosakkan habitat haiwan.
“Haiwan yang terdedah kepada plastik serta sering memakannya secara tidak sengaja boleh
menyebabkan kecederaan, keracunan atau kematian,” katanya.
Penasihat program, Prof Madya ChM. Dr. Yusran Sulaiman berkata, mikroplastik boleh terlepas ke
dalam alam sekitar melalui pelbagai cara serta boleh berada dalam produk pengguna seperti
kosmetik dan bahan pencuci harian di rumah.
“Penggunaan plastik secara tidak terkawal harus dihentikan untuk mengurangkan pencemaran
plastik yang telah menjadi masalah global yang amat kritikal,” katanya.
Pensyarah dari Fakulti Sains, Dr. Mohd Farid Ismail berkata, usaha ini dilakukan untuk memberi
didikan kepada warga sekolah mengenai ancaman mikroplastik serta mempertingkatkan lagi
pemahaman mereka mengenai amalan mesra alam.
“Mikroplastik bukan hanya ancaman kepada hidupan marin, tetapi juga boleh masuk ke dalam rantai
makanan manusia, memberikan kesan jangka panjang yang belum sepenuhnya difahami.
“Penyelesaian terhadap masalah mikroplastik harus melibatkan pendekatan yang holistik supaya
alam sekitar dilindungi dan kesihatan manusia terjaga,” katanya.
Program yang telah disertai oleh 600 orang pelajar itu turut memfokuskan rasa kecintaan terhadap
alam sekitar serta mengasah minat pelajar untuk menceburi bidang Sains dan Teknologi,
Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dalam pada itu, kempen Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna dan Polisterin yang telah
dilancarkan oleh UPM juga menjadi sebahagian daripada fokus utama program ini untuk
mengurangkan jejak karbon dan ekosistem yang mampan.
Date of Input: 02/12/2024 | Updated: 02/12/2024 | m.hakim

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA